AM

60.51 Peratus Kanak-kanak Di Melaka Terima Vaksin Tambahan Demam Campak

16/08/2025 08:51 PM

MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 60.51 peratus atau 27,166 kanak-kanak di Melaka telah menerima suntikan vaksin menerusi Aktiviti Imunisasi Tambahan Vaksin Measles-Rubella (MR SIA), dalam tempoh 12 hari sejak 4 Ogos lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata daripada jumlah itu, sebanyak 14,922 kanak-kanak di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (6,194 orang) dan Jasin (6,050 orang).

“Sepanjang MR SIA berlangsung selama 10 minggu bermula 4 Ogos, sejumlah  46,500 kanak-kanak di Melaka disasar menerima vaksin tambahan itu, iaitu 26,500 orang di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (12,000 orang) dan Jasin (8,000) orang.

“Sehingga kini, daerah Jasin mencatatkan peratusan tertinggi kanak-kanak yang telah menerima suntikan iaitu sebanyak 77.73 peratus, manakala Melaka Tengah (58.43 peratus) dan Alor Gajah (53.63 peratus),” katanya kepada pemberita sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) peringkat negeri Melaka, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa.

Ngwe berkata pencapaian peratus liputan suntikan vaksin tambahan itu, telah melebihi sasaran peratusan awal yang ditetapkan iaitu 36.36 peratus dalam tempoh 12 hari pelaksanaan inisiatif itu.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri komited untuk memastikan lebih 95 peratus daripada jumlah kanak-kanak yang layak menerima suntikan tambahan itu di Melaka, mendapatkannya dalam tempoh yang ditetapkan secara percuma.

“Masih ada masa untuk ibu bapa memastikan anak-anak mereka berusia enam hingga 59 bulan yang lahir pada 1 Ogos 2020 sehingga 31 Jan 2025, mendapatkan vaksin tambahan agar mereka dilindungi daripada ancaman penyakit berjangkit seperti demam campak,” katanya.

Sementara itu, Dr Ruzita berkata sempena sambutan BMSS pada September ini, lebih 13 program dan aktiviti berkaitan amalan hidup sihat dan pencegahan penyakit telah dirangka melibatkan komuniti, masyarakat dan pelajar sekolah di negeri itu.

Beliau berkata program berbentuk saringan kesihatan dan kecergasan itu, akan digerakkan di tiga hospital daerah dan klinik kesihatan di negeri berkenaan bermula 1 Sept hingga 30 Sept ini.

“Program ini juga turut melibatkan komuniti Orang Asli dengan kerjasama pelbagai, agensi agar tiada golongan masyarakat tercicir daripada program yang dianjurkan.

“Sambutan BMSS juga bertujuan memastikan amalan hidup sihat dapat diterapkan dalam kalangan rakyat di Melaka, dalam usaha membantu seseorang itu terhindar daripada risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetis, darah tinggi, kolestrol tinggi dan obesiti,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan