AM

Perolehan Pre-Q Terpilih Di Tiga Kementerian Tidak Wajar Diteruskan - LKAN

21/07/2025 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Perolehan Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (Perolehan Pre-Q Terpilih) di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak mencapai objektif untuk menyegerakan proses perolehan. 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, bagi KKR agensi pelaksana yang diaudit adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah. 

Berdasarkan pengauditan yang dijalankan, pelaksanaan Perolehan Pre-Q Terpilih di ketiga-tiga kementerian didapati tidak wajar diteruskan, antaranya disebabkan wujud ruang manipulasi dan ketidaktelusan pemilihan syarikat, yang mana hanya syarikat tertentu diluluskan untuk menyertai tender.

“Selain itu daya saing pasaran berkurangan disebabkan kementerian atau jabatan yang terlibat tidak mempunyai pangkalan data berkaitan senarai syarikat yang berwibawa dan berprestasi tinggi serta pernah menerima kontrak kementerian atau jabatan.

“Kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak menetapkan tempoh maksimum bagi proses pelawaan peringkat kedua dan tempoh keseluruhan perolehan, tetapi hanya menetapkan tempoh minimum sehingga menyebabkan proses perolehan mengambil masa yang panjang sekitar 152 hingga 553 hari,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu pihak audit berpandangan bahawa kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak wajar diteruskan dan kaedah perolehan tender terbuka adalah lebih sesuai dilaksanakan bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam proses perolehan. 

Bagaimanapun sekiranya kerajaan memilih untuk meneruskan Perolehan Pre-Q Terpilih, ia masih relevan bagi projek berskala besar atau berimpak tinggi yang memerlukan keupayaan teknikal dan kewangan tertentu daripada syarikat yang menyertai tender termasuk melaksanakan saringan awal ke atas syarikat.

Bagi memastikan objektif Perolehan Pre-Q Terpilih dicapai, pihak audit mencadangkan supaya projek yang ditawarkan di bawah kaedah perolehan tersebut terdiri daripada projek-projek tertentu yang bersasar serta memerlukan pelaksanaan segera dan tidak melibatkan kepakaran yang khusus untuk pelaksanaannya.

Selain itu, laporan itu turut mengesyorkan syarat dan kriteria yang lebih jelas dan telus berdasarkan keperluan mengikut jenis projek dapat membantu kementerian atau jabatan membuat saringan dengan lebih cepat pada peringkat awal bagi mengelakkan pembaziran masa dan kos untuk menilai penyertaan daripada syarikat yang tidak layak.

Audit juga mencadangkan supaya pangkalan data syarikat bersepadu kementerian atau jabatan yang terlibat merujuk satu pangkalan data syarikat berpusat seperti Sistem Pengurusan Maklumat Setempat (CIMS) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau sistem lain yang perlu dibangunkan secara menyeluruh.

Saranan lain adalah mengharmonkan prosedur tender terbuka dan terpilih serta mewujudkan garis panduan komprehensif meliputi penilaian teknikal dan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan