KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Luar masih belum menerima sebarang permohonan daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung pencalonan pengulas dan penulis konservatif, Nick Adams sebagai Duta Besar AS yang baharu ke Malaysia.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebarang makluman berhubung perkara itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk diberikan pandangan dan pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Mengenai Nick Adams, kita belum terima perjanjian daripada AS. Kita biar dulu, kita tengok macam mana. Sudah tentu Wisma Putra akan memberikan pandangan dan pertimbangan untuk dibawa ke Kabinet dan Kabinet akan memutuskannya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS di Malaysia.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Presiden AS Donald Trump mencalonkan Nick Adams, seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang kini warganegara AS, sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.
Bagaimanapun Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Kabinet masih belum menerima memorandum daripada Wisma Putra berhubung pelantikan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial