KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneroka pembaharuan dalam sektor perumahan termasuk model 'bayar ikut penggunaan' bagi yuran penyelenggaraan di perumahan mampu milik pada masa akan datang.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan industri hartanah dan menggalakkan akses perumahan yang lebih saksama kepada semua rakyat Malaysia.
Bercakap kepada pemberita sempena Minggu Seni Bina Kuala Lumpur (KLAW) 2025 hari ini, beliau berkata kementerian itu merancang untuk memperkenal sistem supaya penduduk membayar yuran penyelenggaraan berdasarkan penggunaan sebenar kemudahan bersama.
“Di bawah model ini, penduduk akan menerima kad akses yang menjejak penggunaan bulanan mereka bagi kemudahan bersama... kita akan bermula dengan inisiatif Rumah Bakat MADANI yang diterajui oleh Skyworld Pearlmont di Pulau Pinang, yang menampilkan kelab rekreasi berbayar dengan kolam infiniti, gelanggang pickleball dan badminton, taman permainan kanak-kanak serta gimnasium,” katanya.
Nga berkata konsep ini akan dijadikan rujukan bagi projek perumahan awam pada masa hadapan.
Selain itu, beliau berkata KPKT merancang untuk bekerjasama dengan pemain sektor swasta bagi membangunkan kemudahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan matlamat memperluas penggunaan kaedah pembinaan modular seperti Pembinaan Volumetrik Prafabrikasi dan Prasiap (PPVC).
Nga berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta peranan negara sebagai Presiden Perhimpunan Agung Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) dalam menyokong pembangunan bandar mampan melalui pengurangan sisa pembinaan dan pencemaran.
Mengulas mengenai KLAW 2025, beliau menekankan kepentingan seni bina dalam meremajakan bangunan warisan.
“Elemen seni bina memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula bangunan warisan, mengekalkan kepentingan nilai budayanya sambil mengintegrasikan reka bentuk moden,” katanya.
KLAW 2025 diadakan sebagai pembuka tirai kepada Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) serta Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) yang akan berlangsung minggu ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dari seluruh dunia selain menjana transaksi dianggarkan berjumlah RM2 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial