KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki disyaki terbabit kes samun dan rogol maut selepas ditangkap polis dalam kejadian di Wangsa Maju di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata suspek berusia 26 tahun mengadu sesak nafas selepas ditahan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba 40 minit kemudian.
Beliau berkata sebelum itu, polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.40 tengah hari dengan dua anggota bergegas ke lokasi, iaitu rumah didiami empat wanita tempatan.
“Sebaik tiba, anggota polis meminta penghuni rumah membuka pintu dan lima minit kemudian seorang lelaki berbuat demikian.
“Anggota polis memperkenalkan diri untuk membuat pemeriksaan, namun suspek mengeluarkan pisau pemotong daging dan cuba menetak polis.
“Berlaku pergelutan dan suspek menumbuk muka serta menggigit tangan anggota polis, sebelum berjaya ditahan dengan bantuan pengawal keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur tidak menemukan kecederaan fizikal nyata manakala punca kematian masih menunggu laporan makmal.
Beliau berkata suspek dipercayai menyamar sebagai penghantar barang untuk masuk ke rumah itu dan mengikat tangan semua mangsa serta mengurung tiga daripadanya di bilik utama.
“Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol dua kali di bilik serta tandas. Semua mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan, muka dan badan,” katanya.
Beliau berkata suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan samun juga mengambil wang tunai RM200 dan kad ATM milik mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial