IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh susulan insiden kematian seorang pelajar ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, semalam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya telah memastikan semua langkah kesiapsiagaan kecemasan dan aspek keselamatan dilaksanakan dengan teliti, namun insiden berkenaan disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dijangka.
“Kita ambil tanggungjawab penuh setiap kali ada pertandingan ini. Semua persiapan untuk kecemasan itu kita telah ambil kira dan memang menjadi sebahagian besar tanggungjawab kita memastikan keselamatan anak-anak di atas padang.
“Jadi kejadian seperti ini amat tidak dijangka. Kita tidak duga, sebab itu keputusan membatalkan ini sangat penting untuk kita bersama memberikan sokongan kepada keluarga (mangsa) ketika ini,” katanya kepada pemberita pada majlis bacaan yasin dan tahlil kematian Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan SBP Dr Zakiah Shafiee.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap keluarga pelajar terbabit.
Beliau berkata kejohanan yang sedang berlangsung itu ditangguhkan dan akan disambung semula pada 28 hingga 31 Jan tahun depan.
“Jadi pada hari ini juga kita buat keputusan untuk membatalkan semua kejohanan dan pertandingan ini, bagi menghormati keluarga dan juga memberi sokongan kepada keluarga ketika ini dan pastinya juga kita ambil keputusan ini setelah mengambil kira semua keadaan.
“Jadi untuk setakat ini mereka akan pulang ke sekolah masing-masing dan akan kembali pada bulan Januari untuk meneruskan pertandingan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan mangsa Muhammad Fauzan berasal dari Johor, dilaporkan rebah secara tiba-tiba pada 10.30 pagi, ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan itu.
Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun ke atas mangsa mendapati, punca kematian adalah akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial