AM

Dua Tahun Gaza Dalam Genosid, Rakyat Malaysia Jangan Henti Perjuangan - Nadir Al-Nuri

08/10/2025 02:44 AM

SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Rakyat Malaysia diminta untuk tidak berhenti memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang kini genap dua tahun hidup dalam keadaan genosid di Gaza, demikian seruan aktivis kemanusiaan Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu yang mengetuai panji Sumud Nusantara berkata walaupun misi kemanusiaan yang disertai 23 rakyat Malaysia itu tidak berjaya menembusi sekatan Israel, ia tetap membawa kejayaan besar kerana berjaya menarik perhatian dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin menerusi gelombang solidariti rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah setelah kita berhempas pulas hampir dua bulan, hari ini natijahnya kita lihat di hadapan mata kita walaupun kita tidak berjaya untuk break the siege, tetapi kita berjaya untuk break the silence.

“Kehadiran kalian semua hari ini membuktikan setiap seorang daripada kita adalah denyut nadi untuk Palestin,” katanya pada sidang media majlis sambutan kepulangan delegasi misi Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam ini. 

Ketibaan delegasi Malaysia disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, wakil Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ratusan pendukung Palestin dengan laungan Free Free Palestin dan Allahuakbar sambil mengibarkan bendera Palestin.

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam, Selasa..

Muhammad Nadir Al-Nuri berkata perjuangan membebaskan Palestin masih panjang dan tidak seharusnya terhenti dengan kepulangan peserta misi, memandangkan penduduk Gaza terus berdepan kebuluran, kehilangan dan kezaliman yang berterusan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kekuatan misi berkenaan berpaksikan kepada kesatuan hati seluruh rakyat Malaysia termasuk pihak berkuasa, sukarelawan, petugas media, guru serta pemimpin masyarakat.

“Ini adalah usaha kita semua. Kita membuktikan Malaysia mempunyai resipi tersendiri iaitu kesatuan hati yang mencetuskan gelombang solidariti hingga ke peringkat dunia,” katanya sambal mengajak rakyat Malaysia terus bersatu hati dengan memperbanyakkan doa untuk Palestin.

Beliau juga memaklumkan bahawa gelombang kedua misi solidariti akan diumumkan pada majlis Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Rabu malam.

“Kita harapkan semua dapat turun esok di Axiata Arena bagi menyemarakkan semangat dan mendapatkan mandat misi ‘MalaysiaKu untuk Gaza’,” katanya.

Serangan genosid Israel di Gaza bermula sejak 7 Okt 2023 dan sepanjang tempoh dua tahun sekurang-kurangnya 67,173 orang terbunuh, manakala seramai 169,780 yang lain cedera termasuk 20,179 kanak-kanak.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 aktivis rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Okt, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan, Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Okt hasil bantuan kerajaan Turkiye dan kemudian berehat di Istanbul termasuk untuk pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas pulang ke tanah air. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan