AM

JTKSM Bongkar Penginapan Daif, Pekerja Asing Huni Bilik Sempit Di Cameron Highlands

07/10/2025 06:26 PM

CAMERON HIGHLAND, 7 Sept (Bernama) -- Penginapan daif dengan bilik sempit menjadi tempat tinggal sepasang suami isteri warga Indonesia yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pasukan Khas Penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Perak di sini hari ini.

Hamidi, 28, bersama isterinya, Mutimatul Hasanah, 27, antara 14 pekerja tempatan dan 63 pekerja asing warga Indonesia serta Bangladesh yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan khas bermula 9.30 pagi tadi. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Betty Hasan berkata pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sembilan majikan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan dan pertanian bagi memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang perburuhan negara.

“Kita hendak menguatkuasakan akta untuk melihat bagaimana majikan mematuhi undang-undang kerana kita memang mengadakan pendidikan perburuhan tetapi kita dapati bila buat pemeriksaan atau operasi banyak lagi majikan yang tidak patuh.

“Contohnya pembayaran gaji tunai, penginapan daif dengan tidak cukup kelengkapan, keselamatan pekerja serta kemudahan asas tidak diambil perhatian oleh majikan, itu yang kita nak ambil tindakan penguatkuasaan ke atas majikan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata operasi melibatkan 80 anggota antara daripada Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam operasi tersebut,  28 kertas siasatan akan dibuka berdasarkan kesalahan yang dikenal pasti oleh jabatan dan agensi terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa masing-masing

JTKSM dalam kenyataan pula memaklumkan antara kesalahan yang dikesan adalah Seksyen 24D, Seksyen 24J, Peraturan 4 (2) dan Peraturan 4 (3) di bawah Akta Standard Minimum Perumahan Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

Kesalahan lain yang ditemui pelanggaran di bawah Seksyen 25A, Seksyen 63A dan Peraturan 8 serta Peraturan 9 Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].

“Majikan membayar gaji secara tunai, majikan gagal memberi notis perniagaan kepada JTK dan tiada kontrak kerja dan tiada penyata gaji diberikan kepada pekerja sedia ada serta bayaran gaji tidak mengikut kadar minimum sepertimana Perintah Gaji Minimum 2024.

“Kesemua kesalahan yang dikesan ini akan diambil tindakan dengan membuka kertas siasatan bagi tindakan kompaun dan pendakwaan selaras dengan akta berkaitan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan