AM

Malaysia, India Sepakati Piawaian Serantau Pekerja Gig, Platform

07/10/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia dan India bersetuju mengenai keperluan mewujudkan piawaian serantau bagi melindungi kebajikan pekerja gig dan platform sekali gus memastikan mereka menerima perlindungan keselamatan sosial lebih baik serta layanan adil.

Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat dua hala antara Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Menteri Buruh, Pekerjaan, Belia dan Sukan India Dr Mansukh Mandaviya, di sela-sela Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025. 

“Dengan Parlimen Malaysia baru sahaja meluluskan Rang Undang-Undang Pekerja Gig bulan lepas, kedua-dua menteri bersetuju mengenai keperluan kerjasama serantau yang lebih rapat serta piawaian bersama bagi memastikan pekerja gig dan platform mendapat perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik serta layanan yang adil.

“Mereka turut mengambil maklum bahawa ketiadaan piawaian antarabangsa boleh menyukarkan perusahaan kecil berdepan amalan syarikat multinasional besar,” menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Malaysia dan India turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara negara ASEAN dan Asia Selatan dalam menangani isu perlindungan pekerja gig.

Kenyataan itu memaklumkan perbincangan turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala melalui perjanjian sedia ada.

Steven Sim menegaskan kepentingan memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan, Pekerjaan dan Penghantaran Pulang Pekerja yang ditandatangani pada Ogos 2024, yang berjaya memperkemas pengurusan pekerja formal antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia juga komited mempercepatkan dua lagi MoU yang masih dalam rundingan, masing-masing melibatkan pekerja domestik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Isu kebajikan pekerja India di Malaysia turut diberi perhatian, dengan kedua-dua menteri menegaskan komitmen untuk terus menjaga kepentingan mereka.

“Ketika ini, kira-kira 112,000 pekerja India dilindungi di bawah sistem Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Malaysia memberi jaminan bahawa MoU yang bakal dimeterai kelak akan memperkukuh perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja India di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan