EKONOMI

Malaysia Akan Manfaatkan Amalan Ekonomi Kitaran Finland

07/10/2025 02:47 PM

Daripada Zufazlin Baharuddin

HELSINKI, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia mahu memanfaatkan amalan ekonomi kitaran termaju yang dimiliki Finland dalam pengurusan sisa, infrastruktur hijau dan reka bentuk produk mampan, kata Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di sini, Al-Fadil Adam.

Beliau berkata dengan menerima guna pendekatan Finland dalam perancangan dasar strategik, model perniagaan kitaran dan rantaian nilai bersepadu, Malaysia boleh mempercepat peralihan hijau di samping menyelaras dengan piawaian perdagangan dan kemampanan antarabangsa.

“Finland merupakan peneraju global dalam amalan ekonomi kitaran, dipacu oleh strategi nasionalnya yang kukuh, inovasi antara sektor awam-swasta serta kepakaran sektor dalam bioekonomi, perhutanan lestari dan pengurusan sisa.

“Malaysia boleh meraih banyak manfaat dengan memanfaatkan kepakaran ini, khususnya dalam usaha memodenkan sektor utama seperti melibatkan kelapa sawit, perhutanan dan pembuatan,” katanya kepada wartawan Bernama yang menghadiri program media ‘Penyelesaian Iklim dari Finland’ di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia perlu menumpukan kepada penyepaduan prinsip ekonomi kitaran dalam pelan pembangunan negara, membina kapasiti teknikal melalui kerjasama dengan Finland dan melaksanakan projek rintis menggunakan teknologi bersih Finland.

“Penekanan juga perlu diberikan kepada pengukuhan peraturan kemampanan, penambahbaikan sistem data dan tawaran insentif kepada perniagaan untuk beralih kepada amalan berasaskan ekonomi kitaran.

“Menerusi langkah sedemikian, Malaysia bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing perdagangan malah juga membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan rendah karbon, disokong oleh model dan ekosistem inovasi Finland yang telah terbukti berkesan,” katanya.

Pada Ogos 2024, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia 2025–2035.

Pelan itu menyediakan hala tuju dalam menginstitusikan transformasi yang diperlukan untuk memajukan pembangunan ekonomi kitaran.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata pelan tindakan tersebut akan membantu mempercepat peralihan kepada ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal melalui lima teras utama -- tadbir urus dan perundangan, garis panduan dan prosedur, pendigitalan dan teknologi, infrastruktur dan kemudahan, serta pewujudan pasaran.

Kementerian juga sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai rang undang-undang ekonomi kitaran bagi sisa pepejal, termasuk sisa plastik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan