EKONOMI

Malaysia Sasar Lonjak Eksport Ke Finland Menjelang 2030

07/10/2025 11:51 AM

Daripada Zufazlin Baharuddin

HELSINKI, 7 Okt (Bernama) -- Malaysia menyasar untuk menggandakan eksport ke Finland menjelang 2030 terutama dalam sektor utama, yang melibatkan elektronik, makanan halal dan bahan binaan hijau.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Helsinki, Al-Fadil Adam yakin jumlah eksport boleh meningkat ketara, disokong oleh penyertaan luas Malaysia dalam misi perdagangan dan usaha berterusan untuk menerima guna piawaian peraturan Kesatuan Eropah (EU).

“Hubungan perdagangan dua hala Malaysia dengan Finland kekal stabil dan menunjukkan potensi yang memberangsangkan, khususnya dalam sektor yang selari dengan kemampanan, teknologi dan eksport khusus.

“Penekanan perlu diberikan kepada kualiti, pematuhan dan kerjasama untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam pasaran Finland,” katanya kepada wartawan Bernama yang menghadiri program media ‘Penyelesaian Iklim dari Finland’ di sini.

Beliau berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan Finland meningkat 1.5 peratus kepada RM953 juta (US$220 juta) sehingga Julai bagi tahun ini daripada tempoh yang sama 2024.

Sepanjang tempoh itu, eksport melonjak 21.3 peratus kepada RM440 juta (US$101 juta) manakala import turun 11.1 peratus kepada RM512 juta (US$117 juta) berbanding tempoh yang sama 2024.

Eksport utama Malaysia ke Finland terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (59.3 peratus), barangan perkilangan logam (8.9 peratus), produk getah (7.5 peratus), makanan diproses (lima peratus), serta kimia dan produk kimia (4.8 peratus).

Sementara itu, import utama Malaysia dari Finland termasuk barangan logam (26 peratus), kimia dan produk kimia (21.1 peratus), produk elektrik dan elektronik (13.8 peratus), jentera dan peralatan (11.2 peratus) serta makanan diproses (10.4 peratus).

Dalam melangkah maju, Al-Fadil berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan untuk memperkukuh hubungan ekonomi, termasuk dialog berterusan dengan misi perdagangan, delegasi perniagaan dan perjanjian dua hala yang berpotensi.

“Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU yang disambung semula awal tahun ini merupakan detik penting dalam kerjasama ekonomi Malaysia dengan EU dan membuka peluang untuk meningkatkan perdagangan serta pelaburan.

“Selain itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang melaksanakan fungsi di Finland melalui pejabatnya di Netherlands, juga melakukan peranan penting dengan menyediakan maklumat pasaran, khidmat nasihat eksport, program padanan perniagaan dan memudahkan penyertaan Malaysia dalam pameran serta ekspo perdagangan yang berkaitan,” katanya.

Pada 2024, Finland merupakan rakan dagang ke-55 Malaysia di peringkat global, manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-33 Finland di peringkat global.

Dalam kalangan negara EU, Finland merupakan rakan dagang ke-15 Malaysia, manakala dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Finland.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan