KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang serta sumbangan beliau dalam pembinaan negara dan tadbir urus Islam global.
Majlis penganugerahan itu berlangsung pada Istiadat Konvokesyen Khas yang diadakan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-UIAM), Kampus Kuala Lumpur, yang disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kepimpinan dan Tadbir Urus itu disampaikan oleh Tunku Azizah sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia yang bermula semalam.
Dalam titah diraja baginda, Tunku Azizah bertitah selama lebih empat dekad, Shehbaz telah berkhidmat dengan visi, disiplin, belas kasihan serta kepimpinan sejati dalam usaha membina kehidupan dan memperkasa masyarakat melalui pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi.
“Inisiatif beliau seperti Tabung Endowmen Pendidikan Punjab telah membuka pintu pengajian tinggi kepada ribuan pelajar yang mungkin tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke universiti. Itulah contoh kepimpinan yang menyentuh hati dan mengubah masa depan.
“Pada ketika dunia lebih mementingkan imej berbanding integriti, Tuan Yang Terutama (Shehbaz) mengingatkan kita bahawa tadbir urus yang baik adalah berteraskan keikhlasan, khidmat dan keteguhan prinsip,” titah baginda.
Tunku Azizah turut memuji persahabatan yang terjalin lama antara Pakistan dan Malaysia, sambil menyatakan di bawah kepimpinan Shehbaz, hubungan kedua-dua negara itu semakin kukuh.
“Hari ini, para pelajar, ahli akademik dan alumni Pakistan terus memperkayakan universiti ini dan menegakkan misi bersama kita untuk berkhidmat kepada ummah.
“Penganugerahan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian tetapi juga meraikan nilai-nilai yang kita junjung tinggi seperti keadilan, perkhidmatan dan kecemerlangan berpandukan keimanan,” titah baginda.
Pada masa ini, sebanyak 89 pelajar dari Pakistan sedang mengikuti pelbagai program di UIAM, manakala 321 alumni Pakistan telah menamatkan pengajian di universiti berkenaan.
Sementara itu, Shehbaz dalam ucapan penerimaannya menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu keistimewaan dan penghormatan besar yang diterima dengan penuh rendah diri di hadapan para sarjana dan pelajar daripada satu institusi Islam terkemuka dunia.
Mengimbas perkhidmatan awamnya selama bertahun-tahun, beliau berkata baginya kepimpinan sentiasa berkisar kepada khidmat tulus kepada rakyat Pakistan dengan disiplin serta rasa tanggungjawab yang tidak berbelah bahagi.
“Saya harap kehadiran saya di sini hari ini akan mengukuhkan lagi jalinan kerjasama akademik antara UIAM dan institusi pengajian tinggi terkemuka di Pakistan,” katanya, sambil menambah kepimpinan bukanlah satu keistimewaan tetapi amanah suci yang menuntut kejujuran, keadilan dan akauntabiliti.
Menyentuh cabaran lebih besar yang dihadapi dunia Islam, Shehbaz turut menyeru kepada perpaduan, belas kasihan dan integriti moral dalam kalangan pemimpin dan negara, serta menggesa umat Islam untuk terus berpegang teguh kepada nilai dan etika Islam untuk mengatasi konflik, perpecahan dan kemiskinan.
Beliau juga menegaskan Malaysia dan Pakistan dikurniakan generasi muda yang ramai dan menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menyediakan platform yang memperkasakan belia berkhidmat kepada manusia dengan komitmen dan belas kasihan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Presiden UIAM Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Rektor UIAM Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar serta Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Syed Ahsan Raza Shah.
Lawatan Shehbaz ke Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024, mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial