AM

Malaysia, Pakistan Perkukuh Kerjasama Pertahanan, Penerbangan, Penjagaan Kesihatan Dan Keselamatan Siber

06/10/2025 05:46 PM

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Pakistan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, penerbangan, kesihatan awam dan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempererat hubungan dua hala.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Muhammad Shehbaz Sharif menzahirkan rasa puas hati terhadap kerjasama pertahanan yang erat dan berterusan menerusi Jawatankuasa Bersama mengenai Kerjasama Pertahanan (JCDC) yang telah ditubuhkan sejak 1997.

“Kerjasama antara kedua-dua negara telah diperkukuh melalui lawatan peringkat tinggi, mesyuarat dua hala yang dijalankan secara berkala di peringkat menteri dan ketenteraan, jalinan antara angkatan tentera serta kerjasama dalam industri pertahanan.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala khususnya dalam bidang sains pertahanan serta teknologi dan industri melalui pemindahan ilmu dan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Menyedari kepentingan sektor penerbangan dalam meningkatkan keterhubungan serta menggalakkan pertukaran hubungan rakyat dengan rakyat, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempertingkatkan perkhidmatan sektor terbabit dan meneroka peluang bagi meningkatkan keterhubungan antara Malaysia-Pakistan.

"Usaha juga akan ditumpukan bagi meningkatkan hak trafik udara bagi membolehkan peluasan laluan penerbangan serta memudahkan perkembangan perjalanan udara, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi, perniagaan dan pelancongan antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Anwar dan Shehbaz turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan peranti perubatan demi meningkatkan kesihatan awam serta pertukaran komersial dalam sektor terbabit.

Kedua-dua pemimpin menekankan betapa pentingnya kerjasama serantau dalam pengurusan bencana dan pengurangan risiko, serta komited untuk mempertingkatkan pertukaran ilmu dan amalan terbaik dalam bantuan kemanusiaan, tindak balas kecemasan serta pemulihan dan pembinaan semula pascabencana.

Mereka turut menzahirkan komitmen untuk mempertingkat kerjasama dalam keselamatan siber serta usaha memerangi jenayah terancang rentas sempadan, keganasan, pembiayaan keganasan dan jenayah siber.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk terus bertukar maklumat dan kepakaran bagi menangani isu-isu keselamatan yang semakin timbul,” menurut kenyataan itu.

Anwar dan Shehbaz juga menekankan kerjasama aktif dalam menangani isu-isu utama dalam kerangka organisasi antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) serta mengulangi komitmen mereka untuk saling menyokong inisiatif dan pencalonan masing-masing di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan