AM

Hubungan Erat Malaysia-Pakistan Perluas Peluang Ekonomi, Perkukuh Perpaduan Dunia Islam- Fahmi

06/10/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Kerjasama erat Malaysia dan Pakistan bukan sahaja akan  memperluas peluang ekonomi, malah memperkukuh perpaduan dunia Islam melalui perdagangan, pelaburan dan industri halal yang mampan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya Muhammad Shehbaz Sharif, telah menegaskan ikatan persahabatan yang kukuh, serta aspirasi bersama untuk membina kerjasama lebih dinamik dan berdaya tahan.

“Pemimpin kedua-dua negara telah mengadakan mesyuarat dua hala hari ini, serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

“Kedua-dua pihak antara lain berpuas hati dengan usaha berterusan dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia–Pakistan (MPCEPA),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi berkata Malaysia juga menyatakan hasrat untuk meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan bagi memenuhi permintaan sektor pemprosesan makanan dan pembuatan di negara tersebut.

Beliau berkata kedua-dua negara, bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang halal, termasuk memudahkan pengiktirafan bersama pensijilan halal, memperkukuh rantaian bekalan makanan halal, serta berkongsi amalan terbaik dalam pensijilan halal.

“Insya-Allah, Malaysia dan Pakistan akan terus perkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi,” katanya.

Shehbaz tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri.

Pesawat khas yang membawa Shehbaz dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.46 malam semalam dan ketibaan mereka disambut Fahmi.

Malaysia dan Pakistan menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957 dan hubungan dua hala itu telah ditingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik pada Mac 2019.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan