POLITIK

DUN Sabah Dibubar Hari Ini

06/10/2025 03:18 PM

KOTA KINABALU, 6 Okt (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan hari ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor membuat pengumuman pembubaran berkenaan pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu, yang merupakan pusat pentadbiran negeri, pada 2.54 petang ini.

Beliau berkata pengumuman berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Terdahulu, Hajiji menghadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki pekarangan istana pada 8.51 pagi.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) serta anggota Kabinet Negeri.

Presiden parti komponen GRS turut hadir ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fa dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), serta pemimpin PH Sabah lain antaranya Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.

PRN Sabah Ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.

Parti Warisan pula meraih 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.

GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan PAS.

Bagaimanapun, pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu telah bertindak keluar daripada parti tersebut seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum Bersatu kemudiannya digugurkan daripada GRS.

Pada Januari 2023, BN telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS namun PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri seterusnya mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Khamis lepas Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun menyatakanmemaklumkan STAR serta SAPP akan bertanding secara berasingan pada PRN Sabah ke-17, dengan menggunakan logo parti masing-masing. 

Tindakan itu menyebabkan kedua-dua parti terbabit tidak lagi dianggap sebahagian daripada GRS, berikutan keputusan Majlis Tertinggi yang menetapkan bahawa mana-mana parti komponen bertanding menggunakan logo sendiri akan terkeluar daripada gabungan.

Kini, GRS dianggotai Gagasan Rakyat, PBS, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) serta Parti Cinta Sabah (PCS) dan gabungan itu mempunyai 42 kerusi DUN.

Sementara itu, Parti Warisan (14), BN (12), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (2) dan PAS (1).

Kerusi DUN Sungai Sibuga kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain daripada BN pada Januari lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan