AM

"Script: For A Better Malaysia" Versi Urdu Lambang Kebersamaan Malaysia-Pakistan - Shehbaz

06/10/2025 05:30 PM

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif berkata terjemahan naskhah dalam bahasa Urdu SCRIPT: For a Better Malaysia, mencerminkan nilai bersama seperti kasih sayang, penghormatan dan kemajuan antara Pakistan dan Malaysia.

Beliau berkata naskhah nukilan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berfungsi sebagai rangka panduan bagi pembangunan mampan serta memupuk persefahaman antara kedua-dua negara.

SCRIPT merupakan satu rangka panduan. Visi MADANI Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kemampanan, kemakmuran dan kemajuan serta kepercayaan bersama, membentuk akronim SCRIPT. Terjemahan bahasa Urdu bagi naskhah ini telah dilancarkan hari ini.

“Inilah kebajikan serta nilai telah dicatat oleh Saudara (Anwar) Ibrahim dalam SCRIPT. Saya percaya ia akan memberi impak merentas sempadan, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi juga generasi akan datang,” katanya pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala dengan Anwar di sini hari ini.

Pertemuan itu bersempena dengan lawatan rasmi tiga hari Shehbaz ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri dan merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024,  mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat.

Terdahulu, Shehbaz menyerahkan naskhah versi bahasa Urdu itu kepada Anwar.

Pada sidang media sama, Anwar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Pakistan atas usaha mempromosikan hubungan yang lebih erat melalui bidang pendidikan dan kebudayaan.

“Terima kasih sekali lagi atas penghormatan ini, termasuk ijazah doktor kehormat yang diberikan serta terjemahan SCRIPT: For a Better Malaysia dalam bahasa Urdu,” katanya.

Perdana Menteri berkata usaha sedemikian membantu memperkukuh persahabatan serta pertukaran intelektual antara kedua-dua negara, sambil menambah bahawa sumbangan Pakistan dalam bidang kepakaran Islam wajar lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menekankan karya Allama Muhammad Iqbal termasuk Asrar e-Khudi dan Javed Nama, yang disifatkan sebagai sumbangan kepada pemikiran Islam.

"Pada masa sama, saya juga mencadangkan agar dokumentari hebat tentang Muhammad Iqbal yang dihasilkan Akbar Ahmad (pembuat filem Pakistan-Amerika), ditayangkan supaya orang ramai dapat memahami bukan sahaja kehebatan Qadir Azam Ali Jinnah (Mohammed Ali Jinnah), Gabenor Jeneral pertama Pakistan tetapi idea dan visi dalam pembentukan Pakistan,” katanya.

SCRIPT: For a Better Malaysia yang diterbitkan pada 2022 sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10, menggariskan visi beliau untuk membina sebuah negara yang adil dan bersatu melalui kerangka MADANI dengan mengutamakan integriti, keadilan sosial dan kepelbagaian sebagai asas kepada kemajuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan