ALOR SETAR, 6 Okt (Bernama) -- Sebanyak 18 lokasi di Kedah berpotensi dilanda banjir jika fenomena air pasang besar yang dijangka bermula esok hingga Jumaat ini bertembung dengan hujan lebat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata lokasi itu melibatkan lima daerah iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Yan dan Langkawi.
“Keadaan cuaca dua, tiga hari ini cerah, tidak hujan jadi keadaan dan paras air semakin baik. Buat masa ini hanya ada dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar dan Dewan Serbaguna Pokok Sena dengan menempatkan 164 orang daripada 51 keluarga.
“Bagaimanapun, dijangkakan berlaku air pasang besar bermula esok. Jika hujan lebat, ditambah pula dengan fenomena air pasang besar, mungkin akan berlaku pertembungan dan menyebabkan banjir lebih teruk,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir di Taman Makam Diraja Langgar di sini hari ini.
Beliau berkata di Kuala Muda, kampung yang mungkin terjejas ialah Kampung Kepala Tanjung, Bukit Kechik, Tukang Jusoh, Paya, Sungai Meriam, Sungai Yu dan Tanjung Dawai.
Mohd Bukhori berkata di Kota Setar melibatkan Jeti Kuala Kedah, Jeti Nelayan Seberang Kota, Taman Sri Putra dan Taman Sri Pantai, manakala di Kubang Pasu (Kampung Kuala Kerpan, Muara Kampung Kuala Jerlun dan Muara Kampung Kuala Sanglang).
Di Yan, katanya melibatkan Kampung Kuala Raga, Kuala Sala dan Kuala Sungai Yan Kechil, manakala di Langkawi di Kampung Bakau Kelibang.
“Pada 7 Okt, air pasang dijangka berlaku pada 12.45 tengah malam, 8 Okt pada 1.14 pagi, 9 Okt pada 1.45 pagi dan 10 Okt pada 2.18 pagi dengan ketinggian ombak dianggarkan hingga tiga meter. Kita harap cuaca elok sehingga banjir ini surut sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata walaupun keadaan cuaca setakat ini dijangkakan baik, pihaknya sentiasa bersiapsiaga dengan 900 anggota bersedia untuk berkhidmat.
“Masyarakat perlu sentiasa berwaspada dengan amaran yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa selain perlu peka dengan perubahan cuaca. Pastikan keselamatan ahli keluarga, dokumen penting terjaga bagi mengelak sebarang kesulitan,” katanya.
Sementara itu, Dr Mohd Zubir Mat Jafri, 64, seorang pesara yang hampir empat tahun menetap di rumah pusaka keluarganya di Taman Makam Diraja Langgar berkata semasa banjir bermula Jumaat lepas, beliau bersama ahli keluarga berada di luar kawasan dan terus bergegas pulang sebaik dimaklumkan jiran terdekat.
“Apabila saya lihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memang air sudah naik tinggi. Jadi, saya, isteri dan anak lelaki terus bergegas pulang untuk menyelamatkan barangan di dalam rumah.
“Air naik hingga paras lutut, tetapi syukur kerana di tingkat bawah rumah tidak banyak barang dan saya sempat meletakkan peti ais di tempat tinggi. Kami tidak berpindah ke PPS kerana tinggal di tingkat atas rumah dan sekarang mula menjalankan kerja pembersihan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial