AM

APMM Belanja Lebih RM300 Juta Untuk Kapal Berusia 11 Hingga 30 Tahun Ke Atas

06/10/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) didapati telah membelanjakan RM229.93 juta bagi kapal berusia melebihi 30 tahun dan RM78 juta bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024, perbelanjaan itu menunjukkan kebergantungan terhadap aset lama yang berisiko dari segi fungsi dan kos.

Selain itu, pelaksanaan kerja refit secara berfasa tanpa perancangan menyeluruh menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM8.88 juta, manakala denda lewat berjumlah RM2.27 juta masih belum dikutip daripada syarikat yang gagal menyiapkan kerja mengikut jadual. 

"Kelemahan kawalan pembayaran oleh APMM turut dikenal pasti terhadap perkara yang melibatkan tuntutan bernilai RM32.34 juta tanpa invois pembekal, bayaran RM59,800 bagi peralatan yang tidak dibekalkan dan RM144,536 bagi peralatan tidak mengikut spesifikasi," menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini. 

Selain itu, ujian teknikal iaitu Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Test (SAT) tidak dilaksanakan sebelum penerimaan aset, menyebabkan beberapa bot tidak dapat beroperasi dan memerlukan pembaikan dalam tempoh waranti, dengan skop kerja bernilai RM173,075.

"Secara keseluruhan, penemuan ini menunjukkan keperluan APMM memperkukuh perancangan, pematuhan kewangan dan kawalan kontrak bagi memastikan perbelanjaan pembangunan digunakan secara cekap dan memberikan nilai terbaik kepada kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, LKAN mengesyorkan APMM untuk merancang dengan teliti kerja penyenggaraan kapal dan bot agar peruntukan diterima dibelanjakan secara optimum serta memastikan kerja penyenggaraan disiapkan pada tahun semasa bagi mengelakkan risiko kenaikan kos.

“APMM juga disyorkan memastikan denda dikutip daripada syarikat yang lewat menyempurnakan kerja penyenggaraan, invois pembekal disertakan bagi tuntutan untuk tujuan pengesahan bagi mengekang tuntutan berlebihan.

“APMM juga perlu memastikan semua kerja penyenggaraan kapal dan bot hanya diluluskan bayaran selepas pelaksanaan HAT dan SAT, selaras dengan amalan kejuruteraan terbaik dan prosedur penerimaan aset bagi menjamin kualiti dan nilai untuk wang kerajaan,” menurut laporan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan