KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Lawatan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong ke pejabat Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (Kesatuan TV3) mencipta sejarah baharu kesatuan itu sejak penubuhannya 36 tahun lepas.
Presidennya Khairuzzaman Mohammad berkata ini merupakan kali pertama menteri sumber manusia menjejakkan kaki ke pejabat Kesatuan TV3 sekali gus memperlihatkan komitmen kementerian dalam memperkukuh hubungan kerajaan dengan kesatuan sekerja.
“Sepanjang lawatan, menteri mendengar secara terus pandangan dan permintaan daripada barisan majlis jawatankuasa kesatuan serta wakil kesatuan lain termasuk Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Bhd, Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Bhd, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) New Straits Times Press (NSTP) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Akhbar Kebangsaan NSTP.
“Pelbagai isu yang berkaitan dengan hal ehwal pekerja, pembangunan sumber manusia serta usaha-usaha yang boleh diambil untuk meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja di dalam syarikat dan negara dibincangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir dalam lawatan itu Presiden Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Bhd Mohd Hazreen Nor Mubarak, Pengerusi NSTP-NUNW Muhamad Rohaizam Latib dan Pengerusi NSTP-NUJ Farah Marsitah Abdul Patah.
Khairuzzaman berkata kesatuan menyambut baik inisiatif Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) oleh Kementerian Sumber Manusia yang membantu kesatuan melaksanakan program pendidikan dan teknologi maklumat (ICT).
“Tahun ini Kesatuan TV3 menerima peruntukan PHEKS bagi Program Pendidikan dan ICT berjumlah RM25,000 dan ia amat bermakna dan memberi manfaat besar kepada kesatuan serta ahlinya justeru ia wajar diteruskan dan ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, beliau memuji usaha gigih Sim dalam memperjuangkan nasib pekerja gig menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Ogos lepas dan di Dewan Negara pada 9 September.
“Kesatuan mula memperjuangkan nasib dan masa depan pekerja bebas (freelancer) dan bukan tetap sejak 2002 sehingga 2022 apabila hampir 6,000 pekerja media penyiaran, akhbar dan dalam talian diberhentikan kerja atas alasan kegawatan dan pandemik,” katanya.
Khairuzzaman turut mengalu-alukan inisiatif menteri untuk memperkasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi memperluas perlindungan Keselamatan Sosial Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) kepada semua pekerja di Malaysia.
“Perluasan perlindungan ini bakal memberikan manfaat kepada pekerja yang terdedah kepada risiko kemalangan di luar waktu kerja,” katanya.
Katanya usaha Sim itu membuktikan bahawa slogan ‘Berdiri Bersama Pekerja’ bukan hanya retorik tetapi dizahirkan melalui usaha berterusan beliau menyantuni golongan pekerja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial