AM

Jelajah Wira MADANI: MINDEF Salur Bantuan Persekolahan, Bencana Di Sabah

26/09/2025 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menyampaikan bantuan barangan persekolahan kepada 662 pelajar Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu sempena program Jelajah Wira MADANI Negeri Sabah.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mohamed Khaled yang mengadakan lawatan kerja ke pangkalan itu turut menyerahkan replika cek bernilai RM25,000 kepada guru besar sekolah berkenaan Mohammad Rozalli Rambangan.

“Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan Bantuan Kecemasan Bencana ATM kepada 15 anggota yang terkesan akibat banjir di Sabah baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.

Mohamed Khaled turut menyaksikan penyerahan replika cek Tabung Kecemasan Bencana Alam ATM berjumlah RM400,000 yang disumbangkan oleh 11 syarikat iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sembilan syarikat kumpulan LTAT dan Trans Resources Corporation Sdn Bhd.

Kenyataan itu memaklumkan Mohamed Khaled turut melawat tapak projek Hidroponik Pintar Sifar Karbon di bawah Program Ekonomi MADANI, melalui program pemindahan ilmu dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) membabitkan kos pelaksanaan RM60,000.

“Projek itu dijangka dapat dituai dalam tempoh enam bulan dengan penglibatan 10 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) TLDM,” menurut kenyataan itu.

MINDEF memaklumkan Mohamed Khaled turut meninjau kesiagaan Markas Angkatan Kapal Selam termasuk melawat hangar, jeti synchrolift, bengkel dan jeti operasi markas berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan