AM

Mohd Na'im Gesa Pelan Tindakan Khas Syariah Inklusif OKU 2026-2030 Dirangka Segera

28/09/2025 01:21 AM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menggesa agar Pelan Tindakan Khas Syariah Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) 2026 hingga 2030 dirangka segera bagi memastikan perkhidmatan syariah benar-benar menyantuni keperluan komuniti itu secara sistematik dan berkesan.

Beliau berkata komuniti OKU, khususnya golongan cacat penglihatan, berdepan pelbagai cabaran termasuk akses kepada maklumat syariah, kemudahan fizikal di mahkamah, peluang pekerjaan dan sokongan sosial, sehingga masih ramai yang bergelut untuk memperoleh hak mereka secara adil dan bermaruah.

“Justeru saya telah mengarahkan agar pelan tindakan ini dirangka segera. Pelan ini akan menjadi panduan menyeluruh untuk memastikan perkhidmatan syariah benar-benar menyantuni keperluan komuniti OKU secara sistematik dan berkesan.

"Saya juga menekankan agar kemudahan mesra OKU diperluas di semua institusi agama dan mahkamah syariah, termasuk penyediaan bahan bacaan Braille, jurubahasa isyarat serta latihan kesedaran kepada pegawai agar lebih memahami realiti hidup golongan ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Na'im turut menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama antara agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU bagi menjayakan agenda keterangkuman secara menyeluruh.

"Malaysia MADANI bukan sekadar slogan. Ia adalah iltizam kita untuk membina negara yang menyantuni semua tanpa mengira latar fizikal, sosial atau ekonomi. Inilah wajah Islam yang rahmah yang menjunjung prinsip maqasid syariah. Menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta untuk semua rakyat.

"Saya menyeru agar seluruh institusi agama, masyarakat sivil dan rakyat Malaysia bersama-sama menjayakan agenda ini. Tiada siapa harus tercicir daripada mendapat keadilan, kasih sayang dan peluang untuk hidup bermaruah," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan