MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan 53 peratus dalam transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) di seluruh negara susulan pengumuman pelaksanaan Subsidi Bersasar Petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) oleh kerajaan sejak 22 Sept lepas.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, purata harian pembaharuan CDL sebelum pengumuman itu adalah kira-kira 17,000 transaksi, namun jumlah tersebut melonjak kepada 26,000 transaksi sehari selepas tarikh berkenaan.
“Berdasarkan rekod, sejumlah 23,125 transaksi dicatat pada 23 Sept dan meningkat sedikit kepada 23,160 transaksi pada 24 Sept.
“Jumlah itu kemudian melonjak signifikan sebanyak 45.6 peratus kepada 33,714 transaksi pada 25 Sept, menerusi saluran sedia ada JPJ serta rakan strategik seperti Pos Malaysia dan MyEG,” katanya kepada pemberita di Ayer Molek di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Profesionalisme Pegawai Pengangkutan Jalan Tahun 2025 di Akademi JPJ.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu turut merekodkan jumlah pembaharuan lesen memandu yang lebih tinggi pada 26 Sept berbanding negeri lain, susulan pembukaan kaunter JPJ pada hari cuti.
Katanya, trend itu membuktikan semakin ramai pemegang lesen memandu mengambil langkah proaktif memperbaharui lesen bagi menikmati manfaat BUDI95, selain mencerminkan kesedaran terhadap kewajipan memiliki lesen sah seperti termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“JPJ komited memastikan keberkesanan operasi di seluruh negara dengan memantau keperluan lapangan secara berterusan bagi mengekalkan tahap kecekapan optimum.
“Langkah ini turut diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan khususnya Kementerian Kewangan, supaya proses pembaharuan lesen memandu dan pelaksanaan subsidi BUDI95 berjalan lancar tanpa gangguan,” katanya.
Beliau berkata JPJ sentiasa menyokong dasar kerajaan yang diumumkan termasuk memberikan ruang seluasnya kepada rakyat untuk memperbaharui lesen memandu.
“Bermula hujung minggu ini hingga 26 Okt, semua kaunter JPJ bagi urusan lesen memandu serta semakan senarai hitam saman termasuk kaunter penguat kuasa akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad di seluruh negeri.
“Langkah ini diambil bagi memberi peluang kepada orang ramai yang tidak mempunyai aplikasi MyJPJ atau telefon pintar, selain mereka yang tinggal di kawasan sukar akses internet.
“Mereka boleh hadir ke cawangan JPJ termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat negeri bagi memperbaharui lesen. Respon rakyat amat positif dengan peningkatan pembaharuan lesen selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai inisiatif BUDI95,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial