AM

JPJ P.Pinang Buka Kaunter Hujung Minggu

27/09/2025 07:03 PM

BUKIT MERTAJAM, 27 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang melanjutkan waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, selaras pengumuman pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah insiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata pihaknya melanjutkan tempoh operasi pada setiap Sabtu dan Ahad selama sebulan bermula hari ini hingga 26 Okt iaitu bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

"JPJ Negeri Pulau Pinang melanjutkan tempoh operasi Kaunter Lesen Memandu di pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini dan Kaunter Pelbagai di Cawangan Batu Uban, George Town pada setiap Sabtu dan Ahad bagi memastikan kelancaran urusan pembaharuan lesen memandu.

"JPJ Pulau Pinang juga menasihatkan kepada semua pemegang lesen memandu yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun yang mereka diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP 02 dan KPP 03) di mana-mana Institut Memandu (IM) berdekatan untuk mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun, mereka dinasihatkan untuk segera memperbaharui lesen menerusi aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk atau di Kaunter Lesen Memandu JPJ berdekatan.

Zulkifly berkata dengan pelaksanaan inisiatif itu, pihaknya yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh, di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah.

Sebarang pertanyaan berkaitan boleh diajukan di talian 04-3927696, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept ini menerusi penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Semua warganegara Malaysia dengan lesen memandu yang sah layak menerima subsidi itu dan berdasarkan data JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta orang dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan