KOTA KINABALU, 27 Sept (Bernama) – Barisan Nasional (BN) telah menghantar senarai nama calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kepada pihak berkuasa bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai latar belakang integriti tinggi dipilih mewakili parti itu.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mahkamah Syariah untuk tapisan.
“Kami menerima antara empat hingga lima nama bagi setiap DUN dan tapisan sememangnya dilakukan, bukan hanya terhadap calon yang bakal bertanding.
“Mungkin selepas ini kepimpinan negeri sama ada di peringkat DUN atau bahagian juga akan melalui proses penapisan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita GiatMARA di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Penasihat Kehormat RISDA merangkap Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal bagi memberi laluan kepada PRN17.
“Kebolehmenangan calon akan menjadi keutamaan,” kata Ahmad Zahid sambil menambah jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi BN pada PRN17 akan dibincangkan bersama Bung Moktar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial