PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Tatakelola kerajaan yang baik dan dasar ekonomi yang berkesan membolehkan Malaysia menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, sekali gus meringankan beban rakyat berbanding negara lain termasuk negara pengeluar minyak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pengumuman penurunan harga itu telah mendapat sambutan positif daripada rakyat walaupun terdapat teguran dan cadangan balas yang akan diteliti kerajaan dari semasa ke semasa.
“Kita baru mengumumkan mengenai penurunan kadar harga RON95. Alhamdulillah, penerimaan rakyat adalah baik walaupun seperti biasa, ada yang menegur dan memberi cadangan, kita akan meneliti semuanya.
“Bagaimanapun, kita harus mulakan dengan memahami mengapa hanya beberapa negara yang mampu meneruskan program penyasaran subsidi untuk mengurangkan beban rakyat,” kata beliau pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar berkata walaupun Arab Saudi sebagai negara pengeluar minyak utama pernah menawarkan harga serendah 50 sen seliter pada 2013, harga minyak di negara itu kini melonjak antara RM2.60 dan RM2.90 seliter.
“Qatar sebagai pengeluar minyak dan gas turut menetapkan harga lebih tinggi daripada Malaysia.
“Jawapannya ialah kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik. Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan II, timbalan menteri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan rakan-rakan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik,” kata beliau.
Menurut beliau, penurunan harga petrol RON95 hanya dapat dicapai selepas kerajaan melaksanakan perubahan dasar penting termasuk tender yang lebih telus, langkah-langkah yang diambil untuk mengelak ketirisan, membanteras rasuah dan memperkenalkan dasar ekonomi baharu yang memberi keyakinan.
Anwar berkata cadangan awal menjangkakan kerajaan dapat menjimatkan antara RM8 bilion dan RM10 bilion hasil penyasaran subsidi tetapi keputusan akhir dibuat dengan mengambil kira keperluan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.
“Dari segi kerangka, saya kata pertama, pengurusan kerajaan, kewangan kerajaan dan negara. Ini tentunya peranan semua termasuk Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan semua badan penguatkuasaan yang membantu mengekang ketirisan,” kata beliau.
Beliau berkata isu ketirisan dan rasuah sistemik yang wujud dalam segelintir jabatan atau kementerian telah menjejaskan imej perkhidmatan awam tetapi ia tidak menggambarkan keseluruhan penjawat awam yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kerajaan.
“Kelompok kecil ini telah menjadi barah yang perlu ditangani. Tidak adil jika dirumuskan seolah-olah seluruh penjawat awam berada pada tahap ‘mediocre’.
“Hakikatnya, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan kejayaan diplomasi negara adalah daripada hasil kerja seluruh jentera penjawat awam,” kata beliau.
Menurut Perdana Menteri, bukti nyata keberkesanan perkhidmatan awam ialah kejayaan melaksanakan penyasaran subsidi yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.
“Oleh itu, orang yang mendapat faedah ini juga perlu tahu bahawa ia merupakan hasil daripada tatakelola yang baik, pengorbanan para pegawai di semua peringkat serta kerjasama sektor swasta dan profesional lain,” kata beliau.
Mengenai isu kuota subsidi petrol, Anwar menjelaskan keputusan menetapkan kelayakan 300 liter itu dibuat selepas penelitian mendalam dilaksanakan berdasarkan data penggunaan rakyat.
“Cadangan asal ialah 250 liter kerana 98 peratus rakyat menggunakan daripada 200 hingga 220 liter sebulan.
“Namun, selepas perbincangan pada peringkat Kementerian Kewangan dan Jemaah Menteri, kita menaikkan kepada 300 liter supaya tidak menjadi isu,” kata beliau, sambil menegaskan kerajaan sentiasa berusaha memastikan keputusan dasar tidak membebankan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang hasil penjimatan tidak digunakan untuk bermewah, sebaliknya dikembalikan kepada rakyat melalui kebajikan, latihan dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
“Semalam, kita telah berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai mutu perkhidmatan awam termasuk kelulusan peruntukan tambahan untuk latihan, pengajian pascasiswazah dan kepakaran baharu.
“Sejak tahun lepas, kita telah menyediakan ratusan juta ringgit tambahan agar jabatan memiliki kepakaran sendiri terutamanya dalam bidang transformasi digital dan AI,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Anwar berkata keperluan sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan turut diberi perhatian terperinci termasuk menambah jumlah doktor dan jururawat.
“Mudah-mudahan, Allah SWT merestui usaha kita, memberkati negara kita, menjamin keamanan dan kestabilan politik serta mengangkat martabat negara sebagai sebuah negara yang berjaya dalam semua perkara, duniawi dan ukhrawi,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial