Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 26 Sept (bernama) -- ASEAN terus proaktif dalam mempelbagaikan selain memperluas hubungan serta rangkaian ekonominya memandangkan berlakunya ketidaktentuan ekonomi global dan serantau, kata Pengerusi Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia berkata AEM turut berhasrat memperdalam kerjasama ekonomi ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada masa hadapan.
Beliau turut berkata pertemuan tahunan AEM merupakan platform penting bagi para menteri ekonomi blok ini untuk bertukar-tukar pandangan mengenai prospek ekonomi serantau dan global.
“Ia juga merupakan peluang untuk membincangkan kemajuan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bagi tahun ini, inisiatif utama di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN serta inisiatif bersama ASEAN dengan Rakan Dialog kita,” kata Tengku Zafrul pada sidang media penutup Mesyuarat AEM dan Mesyuarat Berkaitan di sini hari ini.
Beliau berkata versi baharu yang dipertingkatkan bagi Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) menandakan satu lonjakan penting ke hadapan yang direka bentuk untuk menjadi lebih tangkas selain responsif terhadap perubahan ekonomi serantau dan global.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pula akan memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial ke arah ekonomi digital menyeluruh di seluruh ASEAN.
Tambahnya, antara tema utama yang mendominasi perbincangan dalam mesyuarat dalaman ASEAN serta dalam perundingan dengan Rakan Dialog ASEAN termasuk aliran perlindungan perdagangan global yang semakin meningkat.
Selain itu, katanya isi perbincangan lain iaitu mengenai kebangkitan langkah perdagangan unilateral yang menimbulkan risiko besar terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan serta kestabilan rantaian bekalan global.
“Kami menegaskan komitmen bersama bagi menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang bebas, adil, terangkum, berasaskan peraturan dan tidak mendiskriminasi dengan prinsip-prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata AEM juga mengiktiraf cadangan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) mengenai pendekatan dan strategi baharu bagi memajukan integrasi ASEAN di tengah-tengah peningkatan fragmentasi geoekonomi.
Tengku Zafrul memberitahu ini merupakan kunci bagi memastikan strategi ASEAN yang terkoordinasi dalam menyesuaikan diri dengan landskap geoekonomi dan geopolitik global yang sentiasa berubah.
Beliau berkata AEM membincangkan dan mengalu-alukan kemajuan baik pelaksanaan 18 PED semasa Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN tahun ini terutamanya sembilan PED di bawah bidang kuasa langsung AEM termasuk pengesahan Rangka Kerja ASEAN untuk Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS).
Secara berasingan, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pula berkata beliau menekankan Perjanjian ATIGA sebagai satu daripada PED yang penting dalam Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN tahun ini.
Menurut beliau, AEM juga mengesahkan semula hasrat untuk menandatangani perjanjian ATIGA pada kesempatan acara sampingan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober.
“ATIGA yang dipertingkatkan mewakili satu pencapaian penting dalam agenda perdagangan ASEAN, bukan sahaja dalam meningkatkan minat terhadap perdagangan dan pelaburan, tetapi juga dalam memantapkan ASEAN sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran,” kata Kao.
Beliau menyatakan ATIGA yang dipertingkatkan mengandungi elemen baharu bagi menangani isu-isu yang sedang muncul.
Katanya, ia termasuk barangan yang diubah suai semula, situasi krisis perdagangan dan kemanusiaan, kesalinghubungan rantaian bekalan serta mekanisme penyelesaian alternatif baharu bagi memperkukuh daya tahan dan pertumbuhan masa depan ekosistem perdagangan rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial