SUKAN

Jalan Sekitar SPU Ditutup Isnin Sempena Peringkat Kedua LTdL 2025

26/09/2025 10:25 PM

KEPALA BATAS, 26 Sept (Bernama) -- Beberapa jalan utama di daerah Seberang Perai Utara (SPU) akan ditutup bagi memberi laluan kepada perlumbaan Peringkat 2 Jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Anuar Abdul Rahman berkata acara pelepasan peringkat berkenaan bermula di Padang Besar, Perlis sebelum berakhir di hadapan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini.

“Bagi laluan di daerah SPU, kayuhan akan bermula dari Jambatan Merdeka melalui Bumbung Lima, Jalan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir dan berakhir di ILP Kepala Batas.

“Penutupan jalan bermula jam 1.30 tengah hari dan dijangka dibuka semula pada 6 petang selepas perlumbaan tamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan terutama sekitar Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Antara laluan alternatif dicadangkan ialah dari Kepala Batas ke Tasek Gelugor melalui lampu isyarat Universiti Sains Malaysia (USM) dan ke Persiaran Seksyen 4 Putera Bertam serta ke lampu isyarat Taman Mekarsari.

Anuar berkata pengguna jalan raya juga boleh menggunakan laluan dari Tasek Gelugor ke Kepala Batas melalui lampu isyarat Taman Mekarsari dan melalui Persiaran Seksyen 4 Putera Bertam dan ke lampu isyarat USM.

Katanya penutupan turut melibatkan  Plaza Tol Bertam daripada arah utara dan selatan dan pengguna dari arah utara ke selatan boleh menggunakan susur Sungai Dua, manakala pengguna dari arah selatan ke utara boleh memilih susur Sungai Dua atau keluar di Plaza Tol Sungai Petani Selatan.

“Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-576 2222 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik SPU di 04-574 1241,” katanya.

LTdL25 akan menyusuri semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia pada sepanjang lapan peringkat saingan, membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5km yang bermula di Pulau Langkawi Ahad ini dan berakhir di hadapan KLCC,Kuala Lumpur, 5 Okt ini

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan