ISTANBUL, 24 Sept (Bernama-Anadolu) -- Afrika Selatan menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya mengeluarkan keputusan bahawa genosid sedang dilakukan di Gaza dan mengarahkan ia segera dihentikan, kata Presidennya Cyril Ramaphosa pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Afrika Selatan bertindak demi menyelamatkan nyawa dengan menegaskan bahawa ICJ perlu membuat keputusan bahawa genosid sememangnya sedang dilakukan di Gaza dan ia mesti dihentikan,” kata Ramaphosa.
“Kita mempunyai tanggungjawab yang amat besar untuk menjamin dan melindungi hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri,” katanya merujuk kepada kes ICJ yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel.
Afrika Selatan memfailkan kes itu pada Disember 2023, mendakwa Israel melanggar kewajipan di bawah Konvensyen Genosid melalui tindakannya terhadap rakyat Palestin di Gaza. Sejak itu, mahkamah telah mengeluarkan beberapa langkah sementara yang mengarahkan Israel mengambil tindakan bagi mengelakkan berlakunya genosid.
Minggu lepas, Brazil menyertai senarai negara yang semakin bertambah untuk campur tangan dalam kes itu, termasuk Colombia, Mexico, Sepanyol, Turkiye, Chile, Ireland dan lain-lain.
“Terdapat konsensus global yang semakin meluas bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza,” kata Ramaphosa sambil merujuk kepada laporan Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki minggu lepas, yang mengesahkan Israel telah melakukan genosid di Gaza.
Beliau turut memuji persidangan PBB mengenai penyelesaian dua negara pada Isnin yang disifatkannya sebagai “bersejarah.”
Ramaphosa berkata persidangan itu mencerminkan tekad majoriti global yang semakin berkembang, iaitu 142 negara yang “mengiktiraf rakyat Palestin berhak memiliki sebuah negara yang aman di samping Israel yang aman.”
“Banyak negara di dunia menuntut perkara itu, dan itu adalah suara yang kami percaya Israel wajar mengambil peduli. Negara-negara berpengaruh yang mampu menjayakan serta merealisasikan penyelesaian dua negara perlu bertindak ke arah itu,” kata Ramaphosa.
“Pengumuman yang lama dinantikan oleh semakin banyak negara untuk mengiktiraf negara Palestin adalah bukti kepada tekad itu,” katanya.
Dengan pengumuman terbaharu itu, jumlah negara anggota PBB yang secara rasmi mengiktiraf negara Palestin meningkat kepada 159 daripada 193.
Sejak 7 Okt 2023, Israel telah melancarkan genosid di Gaza yang mengorbankan lebih 65,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Kempen ketenteraan itu telah memusnahkan wilayah berkenaan serta menyebabkan kebuluran.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial