AM

Lawatan Ke Timor-Leste Disambut Baik, Pengiktirafan Kepada Malaysia - PM Anwar

24/09/2025 08:56 PM

Daripada V.Sankara

DILI (TIMOR-LESTE), 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan rasmi dua hari beliau ke Timor-Leste yang berakhir hari ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan di peringkat tertinggi, dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan kepada Malaysia serta seluruh rakyat.

Bercakap kepada Bernama dan RTM pada akhir lawatan itu, Anwar berkata ia memberi makna yang besar kerana Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, mengekalkan tradisi mengunjungi kesemua negara anggota menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.

Dengan Timor-Leste bakal menjadi anggota ke-11 ASEAN, Anwar menekankan hubungan erat Malaysia, sama ada secara peribadi mahupun antara kerajaan dengan Presiden José Ramos-Horta serta Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao, akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang pertahanan, komunikasi digital, keterhubungan, pelaburan dan perdagangan.

“Umumnya lawatan saya ke Timor-Leste menerima sambutan yang amat baik sebagai pengiktirafan kepada rakyat dan negara Malaysia, termasuk penghormatan di Parlimen serta sambutan di peringkat tertinggi oleh Presiden dan Perdana Menteri,” kata beliau.

Anwar turut mengimbau peranan aktif Malaysia sejak sebelum Timor-Leste mencapai kemerdekaan, termasuk penempatan anggota pertahanan, polis dan tentera di negara itu.

Beliau menekankan peranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melawat Timor-Leste pada 2003, satu kunjungan yang dihargai oleh rakyat Timor sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan dan kemerdekaan.

Perdana Menteri turut mengulangi semula dasar Malaysia untuk menyokong Timor-Leste melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pertahanan.

Anwar berkata Petronas dengan kelulusan daripada kerajaan Timor-Leste, telah memulakan operasi penerokaan di negara itu dan akan memperluas aktiviti komersialnya, manakala perkhidmatan baharu Batik Air telah disambut baik oleh rakyat Timor-Leste.

Kepengerusian ASEAN katanya akan diserahkan kepada Filipina tahun depan, namun Malaysia kekal fokus untuk memastikan kestabilan rantau ini.

Beliau berkata Thailand dan Kemboja sedang dipantau dengan teliti, dengan kedua-dua kerajaan komited untuk meneruskan dialog di bawah kepimpinan baharu mereka, walaupun isu sempadan yang belum selesai di bawah Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) masih berlarutan.

“Kebimbangan kami, selagi melibatkan Malaysia dan ASEAN, adalah memastikan agar tidak berlaku peningkatan permusuhan dan keganasan. Isu sempadan perlu diselesaikan oleh kedua-dua negara. Kami berada di sana sebagai pemerhati dan Panglima Angkatan Tentera serta Kementerian Pertahanan telah banyak membantu,” kata beliau.

Mengenai Myanmar, Anwar berkata kemajuan telah dicapai sepanjang tahun lepas.

“Kami telah mencapai kemajuan ketara dalam usaha meminta Myanmar untuk bersetuju menghentikan segala serangan dan permusuhan.

“Namun, pilihan raya di Myanmar perlu bersifat inklusif. Ia bukan sekadar mengenai mengadakan pilihan raya, tetapi tentang memastikan tiada pihak yang dihalang daripada menyertai,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menekankan agenda peralihan tenaga ASEAN, terutamanya rangkaian grid tenaga ASEAN yang menghubungkan Vietnam, Semenanjung Malaysia, Singapura, Sarawak, Sabah, Indonesia, dan selatan Filipina, di samping memajukan digitalisasi dan keterhubungan rantau ini.

Beliau berkata Timor-Leste tidak boleh dibiarkan ketinggalan, dengan negara anggota ASEAN bekerjasama untuk mengintegrasikan perkhidmatan mudah alih di seluruh rantau ini.

Mengenai Gaza, Anwar mengutuk kekerasan berterusan yang dilakukan Israel, khususnya serangannya terhadap misi flotila kemanusiaan.

“Kami amat kesal dengan jenayah berterusan dilakukan Israel dan kami telah menyokong misi flotila yang membawa bantuan kemanusiaan.

“Memberi ubat dan makanan bayi kepada mereka yang menderita kelaparan serta kebuluran tidak sepatutnya disekat, hanya Israel melakukannya. Kami mengutuk keras tindakan ini, mendoakan keselamatan mereka dan menyokong usaha kemanusiaan untuk menghantar bantuan ke Gaza,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar dan Gusmao menyaksikan majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Central Bank of Timor-Leste (BCTL) dan Asian Institute of Insurance (AII) serta antara BCTL dan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

Perdana Menteri turut melancarkan projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) di Pelabuhan Dili sebelum dianugerahkan Grand Collar of the Order of Timor-Leste daripada Presiden José Ramos-Horta, usai Syarahan Presiden beliau mengenai ASEAN dan peranan Timor-Leste dalam rantau ini.

Anwar dan delegasi Malaysia berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Dili kira-kira 3.30 petang waktu tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan