PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berhubung dengan semua 34 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) esok.
Beliau berkata kumpulan rakyat Malaysia itu merupakan sebahagian daripada aktivis dari 44 negara yang kini semakin menghampiri Gaza dan cekal berdepan pelbagai cabaran.
"Tadi mereka berada di lokasi kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan malam tadi diserang dengan dron.
"Mereka memang sudah bersedia untuk menghadapi perkara itu dan kita harap mereka cekal untuk menghadapi apa juga ancaman daripada pihak Israel," katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran IKONDESA@Putrajaya di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyatakan sokongan penuh rakyat Malaysia kepada Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dan mendoakan kejayaan misi berkenaan yang kini hanya tinggal 750 batu nautika dari Palestin.
Beliau menyatakan perkara berkenaan menerusi panggilan video bersama wakil misi kemanusiaan GSF ke Gaza, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman hari ini.
“Kita doakan mudah-mudahan berjaya dan istiqamah, kuatkan semangat untuk meneruskan tugas ini...cuma (tinggal) 750 batu nautika untuk sampai ke destinasi.
“Ini soal kemanusiaan, itulah keprihatinan rakyat dan kerajaan Malaysia kepada rakyat Palestin yang berada di Gaza,” katanya menerusi panggilan video yang dikongsi Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Sementara itu, Ahmad Musa berkata peserta GSF kekal bersemangat meskipun menghadapi pelbagai gangguan termasuk serangan dron, letupan udara dan bahan kimia dipercayai angkara rejim Israel di Laut Mediterranean.
Beliau berkata walaupun ada peserta mengalami trauma akibat serangan berterusan malam semalam, mereka tetap bersemangat untuk memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin.
“Semalam berlaku serangan agak teruk termasuk 12 letupan udara yang memberi kesan kepada sembilan kapal. Dron turut melepaskan cecair kimia hingga menyebabkan pedih pada muka dan mata peserta serta mengganggu sistem komunikasi.
“Ada walkie-talkie digodam dengan memainkan lagu-lagu pelik bagi melemahkan semangat namun kami tetap tabah untuk meneruskan misi ini,” katanya.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 delegasi Malaysia yang menaiki hampir 70 bot dengan matlamat memecah kepungan terhadap Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial