JENAYAH & MAHKAMAH

Kawasan Insiden Kebocoran Gas Butana Disahkan Selamat

23/09/2025 05:17 PM

CHUKAI, 23 Sept (Bernama) -- Keadaan di sekitar kawasan Petronas Gas Berhad (PGB) di tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kerteh, dekat sini yang dilaporkan berlaku insiden kebocoran gas butana, kini disahkan terkawal dan selamat sepenuhnya.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata, bacaan alat pengesan gas yang dipasang oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Petronas di lapan lokasi tengah hari tadi menunjukkan bacaan sifar.

Susulan itu, polis membenarkan 21 penghuni Pusat Tahfiz Al-Muqarabbin di Kerteh yang dipindahkan ke lokasi lebih selamat pada Ahad lepas kembali ke madrasah untuk meneruskan aktiviti seperti biasa.

"Setakat 12 tengah hari tadi, semua ‘detector’ mencatatkan bacaan sifar termasuk di kawasan berhampiran terowong.

“Dengan itu, situasi semasa disahkan terkawal dan selamat. Masyarakat sekitar tidak perlu bimbang dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Razi berkata pihak berkuasa masih meneruskan pemantauan di lokasi kejadian untuk tempoh tertentu.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menghampiri kawasan terbabit serta sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan