KOTA KINABALU, 23 Sept (Bernama) -- Seorang pelajar yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir selesai memberi keterangan hari ini dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini.
Pelajar itu, yang merupakan saksi kanak-kanak pertama dipanggil pada prosiding inkues itu, mula memberi keterangan semalam dan selesai memberi keterangan pada 3.30 petang ini.
Mahkamah kemudian mendengar keterangan saksi kanak-kanak kedua pada prosiding bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu yang kini memasuki hari ke-12.
Saksi berkenaan, yang memberi keterangan secara tertutup di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dengan didampingi ibunya pada 4 petang tadi, akan menyambung keterangan esok.
Seramai 35 saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan.
Setakat ini, lapan saksi dewasa telah memberi keterangan dalam prosiding itu yang bermula pada 3 Sept lepas manakala 25 lagi dijadual dipanggil pada sesi akan datang.
Berdasarkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017, yang secara jelas melarang penerbitan sebarang maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak, petugas media dilarang berada di dalam mahkamah semasa prosiding secara tertutup bagi melindungi saksi tersebut.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan pihak polis.
Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial