Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup hampir tidak berubah pada Selasa berikutan kekurangan pemangkin tetapi jumlah dagangan yang meningkat sedikit membantu mengekalkan indeks utama melepasi paras 1,600 mata.
Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 0.21 mata untuk ditutup kepada 1,603.55 daripada 1,603.34 semasa ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka lebih tinggi kepada 1,604.90 dan bergerak antara 1,602.03 dan 1,608.49 sepanjang hari dagangan.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 565 berbanding 460 manakala 521 kaunter tidak berubah, 1,098 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.36 bilion daripada 2.78 bilion unit bernilai RM2.27 bilion semalam.
Naib Presiden Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata peningkatan jumlah dagangan menunjukkan keyakinan pelabur yang beransur pulih apabila lebih ramai pelabur atau peniaga aktif semula dalam pasaran.
“Walaupun peningkatan sederhana, gabungan antara penutupan pasaran yang positif dan lebih baik memberi isyarat yang membina bahawa indeks mungkin sedang membina asas kukuh.
“Berikutan sentimen yang semakin positif, pasaran dilihat berada dalam kedudukan lebih baik ke arah kecenderungan meningkat manakala pelabur menunggu pemangkin baharu untuk merangsang momentum selanjutnya,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun Thong mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara 1,580 dan 1,620 mata.
Antara saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.28 manakala Maybank, CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing berkurangan dua sen kepada RM9.82, RM7.29 dan RM13.40. IHH Healthcare pula tidak berubah pada RM7.36.
Dagangan aktif menyaksikan syarikat yang baru disenaraikan di Pasaran ACE JS Solar melonjak sembilan sen kepada 40 sen manakala Pharmaniaga dan NexG masing-masing menambah satu sen kepada 27 sen dan 51 sen.
XOX Technology naik tiga sen kepada 6.5 sen dan SFP Tech meningkat 1.5 sen kepada 17.5 sen.
Kaunter paling untung antaranya PJBumi yang naik 48 sen kepada RM2.70 manakala KSL Holdings mengukuh 28 sen kepada RM2.94 dan KESM Industries melonjak 25 sen kepada RM3.63. Malaysian Pacific Industries pula naik 22 sen kepada RM29.50 dan Fraser & Neave meningkat 20 sen kepada RM27.40.
Antara kaunter paling rugi, United Plantations susut 66 sen kepada RM22.88, Petronas Dagangan rendah 30 sen kepada RM22.00, dan Dutch Lady Milk Industries susut 14 sen kepada RM27.04. UWC dan BLD Plantation pula masing-masing rendah 10 sen kepada RM3.63 dan RM10.86.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas meningkat 16.51 mata kepada 11,943.01, Indeks FBMT 100 naik 9.93 mata kepada 11,686.54, Indeks FBM ACE menokok 32.40 mata kepada 5,006.30, Indeks FBM 70 meningkat 50.60 mata kepada 16,801.71, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 26.06 mata kepada 11,998.01.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga mengukuh 5.12 mata kepada 764.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.88 mata kepada 170.06 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 6.43 mata kepada 18,083.77 dan Indeks Perladangan rendah 41.06 mata kepada 7,726.82.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.52 bilion unit bernilai RM2.01 bilion daripada 1.47 bilion unit bernilai RM1.97 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.08 bilion unit bernilai RM166.49 juta daripada 895.48 juta unit bernilai RM148.25 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 560.33 juta saham bernilai RM182.24 juta daripada 405.44 juta saham bernilai RM157.95 juta pada Isnin.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 303.41 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (250.49 juta), pembinaan (132.75 juta), teknologi (240.66 juta), perkhidmatan kewangan (57.66 juta), hartanah (172.34 juta), perladangan (22.30 juta), REIT (16.18 juta), dana tertutup (416,100), tenaga (109.86 juta), penjagaan kesihatan (128.73 juta), telekomunikasi dan media (25.95 juta), pengangkutan dan logistik (26.06 juta), utiliti (35.79 juta), dan amanah perniagaan (1.70 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial