AM

Amalan Membaca Rakyat Kelantan 85.4 Peratus, Antara Terendah Di Malaysia

22/09/2025 08:59 PM

TUMPAT, 22 Sept (Bernama) -- Sebanyak 85.4 peratus daripada 6,152 responden di Kelantan dilaporkan mempunyai amalan membaca, kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur Ariza Ismail.

Beliau berkata data itu diperoleh menerusi Kajian Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melibatkan 100,848 responden di 14 negeri seluruh negara.

“Daripada rumusan kajian itu, Kelantan berada dalam tiga negeri terendah yang mempunyai amalan membaca selain Negeri Sembilan (85.3 peratus, 3,630 responden) dan Sarawak (80.1 peratus, 7,967 responden). Selangor mencatatkan kadar tertinggi iaitu 92.7 peratus daripada 20,472 responden.

“Kajian sama mendapati rakyat Malaysia membaca purata 24 naskhah setahun pada 2024, dengan pecahan 16 naskhah bahan bercetak dan lapan naskhah bahan digital, berbanding hanya 15 naskhah setahun pada 2014,” katanya pada Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) yang dirasmikan Pengarah Mara Kelantan Zahrail Affenday Mohamed di MRSM Tumpat hari ini.

Ariza berkata peningkatan jumlah bahan bacaan itu sejajar dengan sasaran 40 buku setahun menjelang 2030 melalui Program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).

Beliau berkata pelbagai program telah dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran berkenaan, termasuk program Kembara MDK di sekolah-sekolah.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memanfaatkan bahan bacaan terbitan DBP dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas,” katanya.

Mengulas lanjut, Ariza berkata bahan bacaan bercetak DBP, khususnya majalah masih mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat, terutama golongan dewasa meskipun berlaku perkembangan pesat bahan bacaan digital.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan