EKONOMI

Anugerah MIHAS 2025 Beri Penghargaan Kepada 14 Perniagaan Halal Dalam Pelbagai Kategori

22/09/2025 10:11 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Anugerah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-12 baru-baru ini memberi penghargaan kepada 14 perniagaan halal atas pencapaian mereka dalam produk, perkhidmatan, kemampanan, pendigitalan dan inovasi.

Anugerah itu yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), turut memperkenalkan kategori Emerging Star, mengiktiraf syarikat baharu yang mempunyai potensi besar dalam eksport dan membawa impak transformatif dalam industri halal.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Anugerah MIHAS itu menyokong komitmen negara untuk meletakkan jenama Halal Malaysia di persada global.

"Anugerah ini menghargai syarikat berwawasan yang menetapkan piawaian kecemerlangan baharu dalam perdagangan halal.

"Dengan mengiktiraf peneraju industri dan juga inovator baru muncul, Anugerah itu memajukan agenda nasional dalam inovasi, kemampanan dan pertumbuhan inklusif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sambil mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai penanda aras global yang dipercayai bagi integriti, kualiti dan kecemerlangan halal," katanya.

Antara para pemenang ialah Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Zhafou Global Sdn Bhd and Aafiyat Marketing Sdn Bhd (Anugerah Kecemerlangan Produk); STG Shipping (M) Sdn Bhd and Serunai Commerce Sdn Bhd (Anugerah Kecermelangan Perkhidmatan).

Anugerah Emerging Star diraih oleh Industri Makanan Jati Sdn Bhd (kategori produk), Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (perkhidmatan) dan GFB Food Sdn Bhd (keseluruhan sumbangan).

Dalam kategori Inovasi dan Kemampanan, ADA Biotech Sdn Bhd, Culvita, Poweroot Manufacturing Sdn Bhd dan Wonderliv Sdn Bhd (Food Art) diiktiraf atas kecemerlangan Produk, manakala Pos Malaysia Bhd dan Nestlé Products Sdn Bhd menerima Anugerah Perkhidmatan.

Ketua jualan Aafiyat Marketing Muhamad Hafiz Muridan berkata pengiktirafan itu amat bermakna kepada mereka memandangkan ciri-ciri pematuhan halal yang sangat ketat.

"Halal bukan hanya tentang makanan — ia adalah standard dan proses yang memerlukan audit yang ketat. Mendapatkan pensijilan bukan mudah, jadi penghargaan di peringkat antarabangsa melalui MIHAS selari dengan strategi pengembangan kami ke negara lain," katanya.

Muhamad Hafiz berkata tempoh semasa pandemik amat mencabar.

"Ia sangat sukar, tetapi apabila anda menetapkan standard yang tinggi dan mempunyai visi yang jelas, anda boleh mengatasi cabaran tersebut," katanya.

Bagi Adabi Consumer Industries, pengurus produknya Mohd Azwar Aizam Anuar berkata syarikat itu mengukuhkan kedudukannya dalam segmen baharu selepas 41 tahun berada dalam industri makanan.

“Kami bercadang untuk melancarkan segmen makanan sejuk beku menjelang akhir tahun ini, dan kami juga telah beralih kepada peruncitan, membuka cawangan kedua tahun ini selepas yang pertama tahun lepas.

“Semua yang kami lakukan adalah berdasarkan penyelidikan dan permintaan pasaran, disokong oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan yang kukuh serta jabatan kawalan kualiti,” katanya.

Wonderliv Sdn Bhd pula yang diasaskan pada 2020, memenangi Anugerah Inovasi dan Kelestarian Produk.

"Produk kami adalah segera, mudah, sihat dan selamat untuk kegunaan jangka panjang. Kami mahu menyumbang untuk membina generasi yang lebih sihat untuk masa depan negara," kata eksekutif pembangunan penyelidikannya Nur Atikah Mat Rapi.

Pengurus pembangunan perniagaannya Wendy Pang pula berkata Wonderliv kini membekalkan produk kepada lebih 50,000 pelanggan.

"Secara tradisinya, sup memerlukan masa untuk dimasak, tetapi kami mencipta produk berasaskan paket — hanya tambahkan air mendidih untuk sup panas segar. Ia menggabungkan warisan dengan gaya hidup moden," katanya.

Anugerah MIHAS meningkatkan kredibiliti pemenang di peringkat global, mengukuhkan reputasi jenama, meningkatkan komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kemampanan, serta meluaskan akses kepada rangkaian perdagangan strategik.

--BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan