EKONOMI

Inisiatif NADI MCMC Pacu E-dagang, Perluas Capaian Perniagaan Tempatan - Penganalisis

21/09/2025 12:15 PM

 

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dilihat sebagai mekanisme strategik untuk memperkasakan usahawan dengan memacu pertumbuhan e-dagang dan memudah cara perniagaan berkembang melalui akses pasaran yang lebih luas, kata penganalisis ekonomi.

Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata inisiatif NADI memperkukuh komuniti tempatan dengan menyediakan latihan yang disasarkan dalam kemahiran digital penting termasuk pemasaran digital, penjenamaan dalam talian dan penggunaan media sosial.

Katanya kemahiran ini penting bagi usahawan yang ingin meningkatkan kehadiran mereka dalam pasaran, menarik asas pelanggan yang lebih luas dan bersaing dengan lebih berkesan dalam ekonomi digital.

“Melalui NADI, usahawan mendapat akses kepada bengkel mengenai platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok Shop, membolehkan mereka memasarkan dan menjual produk luar daripada komuniti tempatan mereka.

“Program ini juga menggalakkan penggunaan instrumen digital seperti ChatGPT dan Canva AI untuk meningkatkan pemasaran digital dan menyelaraskan operasi harian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ahmed Razman berkata NADI akan meningkatkan celik digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menawarkan latihan praktikal dalam bidang utama seperti keselamatan siber, pemasaran digital dan analisis data, yang akan mengukuhkan daya saing mereka.

“NADI membimbing PMKS dalam mengguna pakai urus niaga tanpa tunai, menyelaraskan operasi dan meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital.

“Celik digital yang dipertingkatkan akan membolehkan PMKS berkembang dengan lebih pesat, berinovasi dalam produk dan perkhidmatan serta menembusi pasaran global.

“PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia, melalui keupayaan digital yang dipertingkatkan dapat meningkatkan kecekapan, menambah kadar kelangsungan perniagaan dan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui produktiviti yang lebih tinggi dan potensi eksport,” katanya.

Sehingga 31 Mac 2025, inisiatif ini telah melatih 4,000 usahawan - 3,390 daripadanya adalah wanita dan menyasarkan untuk melengkapkan lebih ramai individu dengan kemahiran bagi mengembangkan perniagaan melalui platform seperti TikTok Shop dan Shopee. 

Sebagai bukti kejayaannya, Projek Inklusif Digital NADI telah dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025 pada 7 Julai 2025.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata anugerah itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha MCMC untuk merapatkan jurang digital dan meningkatkan kebolehcapaian Internet untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau menggesa MCMC untuk terus memperkukuh kesemua 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan memperluas keupayaan, meningkatkan kelajuan Internet dan menawarkan perkhidmatan tambahan seperti e-kesihatan untuk memastikan manfaat yang lebih besar kepada orang ramai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan