AM

Nikmati Manfaat BUDI95 Bermula 27 Sept, PDRM Rakam Penghargaan

22/09/2025 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang berkuat kuasa pada 27 Sept ini khusus untuk warga PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia. 

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM percaya inisiatif itu akan memberi implikasi positif kepada warganya yang bertugas di seluruh pelusuk negara.

“Pengurangan beban kos bahan api secara langsung dapat meningkatkan motivasi dan daya tahan anggota dalam melaksanakan amanah demi menjamin ketenteraman serta keselamatan rakyat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Menurut Kementerian Kewangan, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 Sept manakala bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept diikuti 30 Sept bagi 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif.

Mohd Khalid juga berkata sebagai institusi penguatkuasaan undang-undang yang mendukung aspirasi Malaysia MADANI, PDRM melihat inisiatif itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup bahkan memperkukuh kesejahteraan sosial dan kestabilan negara selain membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara adil dan berkesan,” katanya.

Beliau turut memuji pendekatan inovatif penggunaan MyKad di stesen minyak sebagai mekanisme pengesahan kelayakan yang disifatkan selaras dengan usaha pendigitalan negara serta manifestasi kerajaan dalam mengoptimumkan teknologi bagi memastikan tadbir urus subsidi yang telus, cekap dan lestari.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan