EKONOMI

Penurunan Harga RON95 Redakan Inflasi, Jana Pertumbuhan -- OCBC Research

22/09/2025 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Langkah rasionalisasi RON95 yang menetapkan harga bahan api itu kepada RM1.99 daripada RM2.05 seliter bermula 30 Sept, 2025, dijangka dapat mengekang tekanan inflasi selain menjana pertumbuhan, kata OCBC Global Markets Research.

Penurunan harga RON95 itu dapat mengurangkan inflasi tahunan sebanyak 0.1 mata peratusan  manakala purata inflasi keseluruhan pada 1.3 peratus tahun ke tahun bagi tempoh Januari-Julai 2025. 

“Jika diteliti, rasionalisasi subsidi air dijangka meningkatkan inflasi pada Ogos dan September, namun ini akan diimbangi oleh penurunan sebanyak 3.0 peratus bagi harga RON95 yang berkuat kuasa pada 30 September 2025.

“Dari sudut dasar monetari, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar pada mesyuarat 6 November," katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, CIMB Treasury and Markets Research pula menjangkakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan pendekatan berwajaran volum dalam mengukur tingkat harga RON95 yang akan memberi kesan deflasi kecil terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP).

Menurutnya, langkah sedemikian dilihat sebagai neutral-inflasi secara meluas dengan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada penurunan harga dan konsisten dengan garis panduan BNM bahawa pembaharuan domestik akan memberi kesan inflasi terhad.

"Kami mengunjurkan inflasi keseluruhan pada 1.5 peratus bagi 2025 dan 2.0 peratus pada 2026 yang menunjukkan penekanan kestabilan harga dan mengekalkan kadar sebenar dalam wilayah positif," katanya.

Kementerian Kewangan mengumumkan rakyat Malaysia layak menerima subsidi harga siling bulanan sehingga 300 liter RON95 di bawah program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Bagaimanapun, pemandu perkhidmatan e-hailing dikecualikan daripada had berkenaan dan boleh memohon tambahan bagi memastikan mata pencarian tidak terjejas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan