JEDDAH, 20 Sept (Bernama-SPA) -- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan bahawa platform digitalnya, aplikasi Nusuk melepasi 30 juta muat turun, menunjukkan peningkatan tahunan sebanyak 150 peratus berbanding 12 juta pada 2024.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), lebih 90 peratus pengguna aplikasi berasal dari lebih 190 negara, sekali gus menunjukkan capaian globalnya dan peranan penting dilaksanakan dalam memudahkan perjalanan Haji, Umrah dan ziarah bagi jemaah.
Aplikasi Nusuk menawarkan lebih 100 perkhidmatan digital melalui integrasi dengan pelbagai entiti berkaitan Haji dan Umrah, merangkumi setiap peringkat perjalanan jemaah dari perancangan sehinggalah kepulangan.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk tempahan Umrah, lawatan ke Al-Rawdah Al-Sharifah, tempahan Perkhidmatan Kereta Api Laju Haramain, penerbangan, hotel, serta lawatan pengayaan.
Aplikasi ini turut memperluas ciri-cirinya baru-baru ini dengan menambah kemudahan harian seperti akses kepada al-Quran digital, waktu solat dan arah kiblat.
Kementerian itu turut mengesahkan yang satu kemas kini utama akan dilancarkan tidak lama lagi bagi menyediakan pengalaman pengguna yang lebih lancar dan mesra pengguna, selaras dengan matlamat berterusan aplikasi itu untuk menjadi platform digital Islamik terkemuka di dunia.
-- BERNAMA-SPA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial