AM

Kemas Kini Segera Maklumat Peribadi Bagi Lancarkan Operasi Haji 1447H/2026M

19/09/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Semua bakal jemaah haji diingatkan supaya mengemas kini segera profil maklumat peribadi bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran haji musim 1447H/2026M berjalan lancar.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad berkata peringatan berterusan itu adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memastikan semua bakal jemaah haji menerima maklumat terkini yang tepat.

Beliau berkata ia termasuk maklumat mengenai jadual taklimat persediaan, kursus haji dan segala panduan perjalanan ke Tanah Suci.

“TH amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini bagi urusan haji dapat diatur dengan sebaik-baiknya. Kami berharap agar semua bakal jemaah haji dapat memberikan kerjasama untuk mengemas kini profil masing-masing dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua bakal jemaah haji juga boleh menyemak giliran menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M di platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara.

“Rekod TH mendapati sejumlah 521 bakal jemaah haji dalam senarai giliran 1447H/2026M tidak dapat dihubungi, sekali gus boleh menjejaskan kelancaran penyampaian maklumat penting berkaitan persediaan dan pengurusan ibadat haji,” katanya.

Sehubungan itu, TH turut menggesa semua pendeposit, terutamanya bakal jemaah haji dalam senarai giliran untuk mengambil tindakan segera dengan hadir ke pejabat cawangan TH terdekat atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

“Ia bertujuan mengemas kini serta mengesahkan profil maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat surat-menyurat dan e-mel yang terkini,” katanya.

Mustakim turut mengingatkan semua bakal jemaah haji agar membuat persediaan awal sebaiknya dari segi kesihatan, kewangan dan ilmu pengetahuan berkaitan ibadah haji, bagi memastikan urusan penerimaan tawaran haji serta perjalanan menuju ibadah haji yang mabrur dapat dilaksanakan dengan lancar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan