AM

225 Veteran ATM Terima Geran Keusahawanan Lebih RM1 Juta

22/08/2025 08:15 PM

TAWAU, 22 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 225 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat daripada geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) berjumlah RM1.13 juta sejak 2023 hingga kini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata mereka merupakan sebahagian daripada 1,975 veteran ATM yang mengikuti Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di negara ini.

"Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT merencana pelbagai pengisian bagi program pemerkasaan usahawan veteran ATM ini, bagi memastikan sosioekonomi veteran ini dibantu ditingkatkan untuk masa depan

"Program ini berperanan sebagai pemudah cara untuk menghubung, memadan dan menyalurkan insentif keusahawanan seperti khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan yang diperlukan usahawan veteran untuk memajukan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM Sabah serta menyampaikan geran SPKLB kepada sembilan usahawan veteran ATM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adly menasihati veteran ATM agar memanfaatkan pelbagai lagi skim keusahawanan yang disediakan kerajaan termasuk geran daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kewangan.

Beliau turut menyarankan veteran ATM meneroka industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti peralihan tenaga, teknologi dan digital, elektrik dan elektronik serta pertanian dan industri asas tani moden.

"Saya yakin kelompok usahawan veteran ATM juga mampu menjadi penyumbang kepada usaha Rancangan Malaysia ke-13 untuk menjadikan Malaysia sebagai negara besar pengguna (consumption powerhouse) yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan.

Sementara itu, penerima geran SPKLB Mohd Ali Osman, 51, berkata dia dan isteri mengusahakan empat jenis produk sambal Menaq iaitu sambal ikan masin, udang kering, kicap pedas serta sambal tuhau pedas.

"Saya bermula dengan sambal iman masin Menaq pada tahun 2016 selepas saya bersara daripada ATM, kini pasaran produk saya sehingga ke Brunei Darussalam dan dipromosikan melalui Tiktok dan ada juga kawan-kawan yang bawa produk ini sehingga ke Jerman.

"Dari segi permintaan, sebulan dianggarkan lebih 400 botol (400 gram setiap satu) dikeluarkan, kita juga menjual produk ini secara pakej 50 gram serta 80 gram," katanya sambil menambah produk itu diiktiraf dengan pensijilan halal pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan