AM

PVATM Harap Belanjawan 2026 Rapatkan Jurang Pencen Pesara

22/08/2025 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berharap Belanjawan 2026 dapat merapatkan jurang kadar pencen antara pesara tentera yang bersara sebelum dan selepas 1 Jan 2013.

Presiden PVATM Kapt (B) Sharuddin Omar berkata jurang kadar pencen sedia ada terlalu ketara iaitu antara 14 hingga 71.9 peratus bergantung kepada kategori pangkat masing-masing.

“Jurang ini wujud apabila kerajaan melaksanakan penambahbaikan gaji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JGMM) pada 1 Jan 2013 yang tidak melibatkan pelarasan pencen kepada mereka telah bersara sebelum tarikh itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sharuddin berkata Mahkamah Rayuan pada 4 Jun, telah memutuskan pesara tentera yang bersara sebelum 1 Jan 2013 tidak layak mendapat pelarasan pencen JGMM kerana tidak melibatkan kenaikan gaji tetapi penambahbaikan gaji serta perubahan syarat perkhidmatan.

“Namun, PVATM tetap mengemukakan rayuan agar kerajaan masih mempertimbangkan usaha untuk merapatkan jurang perbezaan dan menangani bebanan kos sara hidup berasaskan faktor kemanusiaan, kebajikan dan jasa pengorbanan,” katanya.

Sharuddin berkata PVATM akan terus berunding dengan kerajaan secara berhemah dengan beberapa opsyen alternatif yang munasabah untuk kedua-dua pihak.

Beliau berkata secara relatif, kadar pencen majoriti pesara tentera adalah kecil berbanding penjawat awam dalam gred perkhidmatan sama kerana 92 peratus daripadanya merupakan anggota lain-lain pangkat yang berkhidmat selama 21 tahun.

Berdasarkan rekod PVATM, beliau berkata daripada 148,884 pesara berpencen, sebanyak 40.7 peratus menerima pencen di bawah RM1,500 sebulan manakala 11 peratus menerima pencen melebihi RM2,500.

Menurut Sharuddin, PVATM juga mencadangkan penambahbaikan syarat kelayakan penerimaan Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi pesara berpencen dan tidak berpencen.

“Kami mengesyorkan paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pendapatan isi rumah yang kini berada pada RM1,198 sebulan ditingkatkan kepada RM2,028, membolehkan lebih ramai veteran menikmati kemudahan BSH,” katanya.

PVATM juga mencadangkan pemberian Elaun Kenangan antara RM1,000 hingga RM2,000 kepada 58 penerima pingat Darjah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Bintang Panglima Gagah Berani (PGB), Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) dan Pingat Panglima Tentera Udara (PTU) dinaikkan kerana kadar itu  digunakan sejak 16 tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan