KOTA KINABALU, 22 Ogos (Bernama) -- Seramai 50,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Sabah yang akan diadakan di Jalan Tun Fuad Stevens di sini pada 31 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 Datuk Seri Masidi Manjun berkata turut diadakan pada hari sama ialah Hari Sabah pada sebelah malam yang menjanjikan pelbagai acara menarik.
Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri berkata sambutan Hari Kebangsaan 2025 turut menyaksikan 157 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan, mewakili pelbagai kategori termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, badan beruniform, persatuan sukarela dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Pada tahun ini, kita akan menyaksikan sesuatu yang baharu apabila 50 penunggang skuter akan turut serta dalam perarakan sebagai salah satu kontinjen untuk pertama kalinya," katanya pada sidang media sambutan itu di sini hari ini.
Beliau berkata sambutan itu juga bakal diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman yang dijadualkan tiba pada 7.30 pagi, diiringi isteri Toh Puan Faridah Tussin. Turut dijadualkan hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Masidi turut menyeru orang ramai yang berhasrat menyaksikan perarakan supaya tiba lebih awal kerana berdasarkan pengalaman sambutan pada tahun lepas, kawasan perarakan telah dipenuhi orang ramai seawal 6 pagi.
“Sambutan Hari Sabah pula akan diadakan pada sebelah malam di Padang Merdeka sebagai kesinambungan kepada perayaan dan sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan pada sebelah pagi,” katanya.
Sementara itu, Masidi berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melancarkan kempen kibarkan bendera sejak 1 Ogos lepas dan setakat ini mendapat sambutan menggalakkan daripada premis perniagaan dan orang ramai.
"Kita menggalakkan semua rakyat Malaysia di Sabah mengibarkan bendera di premis perniagaan dan juga kediaman sepanjang bulan kemerdekaan sebagai tanda cinta dan sayang kita kepada negeri dan Malaysia," tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial