JOHOR BAHRU, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor menggesa orang ramai memainkan peranan aktif dalam membanteras budaya buli dengan menyalurkan aduan melalui platform khas yang disediakan pihak berkuasa.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setiap laporan yang dibuat mampu menyelamatkan nyawa serta masa depan anak-anak yang menjadi mangsa.
“Sekiranya melihat, mendengar atau menjadi mangsa buli, jangan berdiam diri. Gunakan hotline aduan 24 jam untuk murid sekolah melalui Sistem Aduan Buli Kementerian Pendidikan (KPM) di talian 03-88849325 atau aplikasi WhatsApp di talian 014-8009325.
“Bagi murid tadika dan prasekolah pula, aduan boleh dibuat menerusi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Onn Hafiz dalam pada itu menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail agar gejala buli dibendung segera dengan penguatkuasaan lebih ketat bagi memastikan institusi pendidikan menjadi kawasan selamat untuk kanak-kanak.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius setiap kes buli yang bukan sahaja salah laku disiplin malah satu jenayah sosial yang mampu merosakkan kehidupan, menghancurkan keluarga dan menggugat masyarakat.
Onn Hafiz berkata setiap sekolah dan asrama mesti diangkat sebagai zon selamat, bebas daripada ancaman buli dengan sokongan kaunseling diperkukuh, kesedaran masyarakat dipertingkatkan serta saluran aduan dipermudahkan agar mangsa berani tampil membuat laporan.
Terdahulu, beliau mengiringi keberangkatan Tunku Mahkota Ismail ke Hospital KPJ Pakar Puteri bagi melawat seorang murid darjah empat yang dirawat selepas dilaporkan menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di Skudai sehingga mengalami gegaran otak dan gangguan ingatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial