AM

RM335,000 Kompaun Dikenakan, Johor Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Pembuangan Sampah

19/08/2025 07:20 PM

JOHOR BAHRU, 19 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 2,058 saman dengan kompaun bernilai lebih RM335,000 berkaitan kesalahan membuang sampah telah dikeluarkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor dari awal tahun ini hingga Julai lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata kerajaan negeri serius dalam menangani masalah pembuangan sampah yang telah lama membelenggu termasuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dengan kerjasama pelbagai agensi.

"Di bawah titah arahan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memperkukuh penguatkuasaan dan membanteras perbuatan membuang sampah secara haram," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ling berkata pelbagai pelan tindakan telah dirangka termasuk memperhebat kempen kesedaran serta aktiviti antipembuangan sampah.

Beliau berkata pelaksanaan penguatkuasaan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi akan turut dijalankan bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang dan memelihara kebersihan alam sekitar.

"Kita berharap melalui pelbagai pendekatan ini, masyarakat akan lebih sedar hukuman yang bakal menanti mereka...sekiranya mereka melakukan pembuangan sampah merata-rata di kawasan awam yang menjejaskan alam sekitar serta sistem saliran," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan