AM

Aspek Tatakelola, Tadbir Urus Baik Wajib Diterap Dalam Pembangunan AI Di Malaysia - PM

18/08/2025 05:33 PM

CYBERJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Aspek tatakelola dan tadbir urus baik wajib diterapkan dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan proses transformasi digital negara dapat dilaksanakan dengan baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata teknologi dan disiplin ilmu baharu AI perlu diterokai dengan baik dan teliti bagi mengelak berlakunya sesuatu yang akan menjejaskan atau merugikan negara. 

Mengambil contoh pendekatan penswastaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, beliau berkata penswastaan tanpa menerapkan proses ketelusan dan tatakelola yang baik akan menyebabkan Malaysia mengalami kerugian.

“ ...ketika itu, ia bukan privatisation tetapi piratisation dan tidak ikut proses… akibatnya apa? banyak syarikat yang umumnya (asalnya) diberikan dengan harapan (memberi) faedah (kepada) negara dan rakyat... akhirnya terpaksa ditampung oleh kerajaan kerana kerugian besar dan menjadi beban hutang yang besar yang harus dilangsaikan oleh rakyat. 

“Sebab itu, apa pun yang disebut pengkomputeran, transformasi digital, AI dan prinsip tadbir urus baik ini amat diperlukan,” katanya ketika berucap pada Program Temu Anwar@Universiti Multimedia (MMU) serta pelancaran Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan MMU di sini hari ini.

Anwar berkata Kerajaan MADANI telah menyalurkan peruntukan besar dalam pembangunan teknologi AI atas kesedaran dan keyakinan bahawa ia mampu memberi manfaat luas kepada pembangunan Malaysia.

Beliau berkata jumlah peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi di bawahnya serta pembangunan AI di sekolah sudah mencecah puluhan bilion ringgit.

Perdana Menteri turut menyeru supaya pelaksanaan teknologi digital perlu mengambil kira keadilan sosial dan nilai kemanusiaan supaya jurang kesenjangan bandar, luar bandar, kaya atau miskin serta akses pendidikan tidak terus melebar.

“Kita mesti naikkan siling iaitu meningkatkan keupayaan teknologi negara tetapi pada masa sama, naikkan lantai supaya rakyat bawahan turut menerima manfaatnya,” kata beliau.

Selain itu, Anwar meminta tenaga pengajar di institusi pendidikan tinggi untuk menerapkan nilai kemanusiaan dalam pendidikan dan pembangunan teknologi AI di semua peringkat.

“… tumpuan (kepada) soal teknologi dan AI, (tetapi) jangan tinggalkan soal kemanusiaan negara ini... ia mesti dipertahankan,” katanya. 

Beliau turut memuji inisiatif MMU yang memperkenal Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) yang disifatkan sebagai usaha yang mampu membantu negara mendepani cabaran baharu dalam dunia digital.

FAIE memberi penekanan kuat terhadap AI gunaan dengan matlamat melahirkan pelajar yang bukan sahaja kukuh dalam asas teori tetapi juga dilengkapi kemahiran untuk mereka bentuk, melaksana dan mengintegrasi penyelesaian bagi kegunaan praktikal dalam pelbagai industri.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan