SEREMBAN, 19 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Nilai dari 22 hingga 24 Ogos ini bakal mengetengahkan kelainan berkonsepkan elemen digital dan kecerdasan buatan (AI) dengan bertemakan "Digital Merentasi Generasi Memperkasa Komuniti".
Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Digital Nur Fazreen Mohamad Kamal berkata program anjuran kementerian itu bersama dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan menyediakan pelbagai perkhidmatan digital, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat merasai sendiri transformasi digital negara.
Beliau berkata antara kelainan ditampilkan ialah menggunakan juruacara AI bergandingan dengan pengacara fizikal di pentas utama pada majlis perasmian yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu (23 Ogos).
“PMR kali ini sangat istimewa kerana kita bawakan elemen digital kepada rakyat dan perkenalkan apa jua perkhidmatan digital yang ada di Malaysia untuk diaplikasikan bersama-sama, masyarakat perlu diberikan pendedahan mengenai sistem AI ini supaya mereka lebih faham.
"Langkah itu juga antara usaha memanifestasikan komitmen berterusan kerajaan dalam mendigitalkan negara bagi meningkatkan kualiti hidup serta memacu masa depan berteknologi tinggi berpaksikan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial," katanya dalam temu bual bersempena dengan program berkenaan di BERNAMA RADIO hari ini.
Nur Fazreen berkata 22 kementerian akan membuka reruai dengan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan gigi dan kesihatan serta gunting rambut percuma, diskaun 50 peratus untuk bayaran saman, medan juadah makanan ("Selero Nogori") dengan lebih 150 perkhidmatan touch point untuk rakyat.
Selain itu katanya, lebih 40 usahawan MADANI akan turut sama memeriahkan program berkenaan selain karnival digital dan kerjaya yang menawarkan 500 peluang pekerjaan, pertukaran minyak hitam motosikal percuma dan 3,000 pertukaran topi keledar secara percuma.
Beliau berkata turut dibawakan ialah watak animasi popular, iaitu Boboiboy, Papa Zola, Ejen Ali, Upin Ipin dengan acara kemuncaknya tayangan Ejen Ali The Movie pada malam Sabtu, selain penganjuran ceramah agama perdana pada Jumaat.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai termasuk dari Melaka, Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur supaya tidak melepaskan peluang untuk ke PMR Negeri Sembilan bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan, dan maklumat lanjut boleh layari www.malaysiamadani.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial