DUNIA

Gagal Rangkul Piala, Pasukan Bola Sepak Wanita Myanmar Tetap Wira

20/08/2025 02:07 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 20 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola sepak wanita Myanmar mencipta kejutan terbesar dalam Kejohanan ASEAN Women's MSIG Serenity Cup 2025 selepas penantian selama sedekad.

Selepas mempamerkan aksi penuh semangat sepanjang kejohanan serantau itu, skuad yang digelar "Singa Betina Asia" akhirnya kecundang di pentas akhir apabila tewas tipis 1-0 kepada pasukan bawah 23 tahun Australia di Stadium Lạch Tray, Vietnam semalam.

Kekalahan itu sememangnya perit, namun rekod tanpa kalah mereka dalam kejohanan ini amat membanggakan. Penamatnya membawa erti mendalam, mencerminkan ketabahan sebuah negara yang berdepan pelbagai cabaran, daripada kepayahan hidup rakyat sehinggalah kepada kemunduran demokrasi.

Pengarah Komunikasi Institute for Strategy and Policy Myanmar, Aung Thu Nyein, menyifatkan pasukan wanita itu sebagai cahaya kejayaan dan harapan, dalam sebuah negara yang amat terpolarisasi dan dihimpit pelbagai masalah sosial serta politik.

“Saya percaya rakyat Myanmar pasti berasa sangat bangga dengan mereka, kerana ketika negara serba kekurangan, miskin dan gagal dalam banyak perkara, kejayaan ini memberi sesuatu untuk ditunjukkan,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang 90 minit perlawanan akhir itu, pemain Myanmar yang segak berbaju merah memperlihatkan semangat juang luar biasa.

Dalam persembahan penuh bertenaga, 11 anak muda itu membawa naratif di luar padang - tentang sejarah bergelora Myanmar, kisah raja-raja dan pertempuran nenek moyang. Kehidupan di bawah penjajahan, iklim sosialis hingga pemerintahan tentera melambangkan ketabahan rakyat dalam mengharungi dugaan.

Di sebuah negara yang bola sepak boleh mencetuskan suasana fanatik, pencapaian skuad wanita itu pasti menjadi bualan - daripada peminat yang mengunyah sirih di kedai teh tradisional dengan berkain longyi, hinggalah ke golongan korporat yang berpakaian kemas di bilik mesyuarat.

Meskipun negara itu berpecah dari segi etnik dan ideologi politik, bola sepak tetap menjadi faktor penyatu.

“Seluruh Myanmar pasti berasa gembira dengan kejayaan mereka. Beberapa tahun lalu, selepas kudeta, ada kumpulan politik mengkritik artis, pemuzik, pelakon dan atlet kerana tidak menyertai gerakan sivil dan didakwa bekerjasama dengan tentera.

“Tetapi itu tidak penting. Mereka kini sudah melakukan yang terbaik untuk negara dan diharap semua gembira dengan pencapaian ini,” kata Aung Thu Nyein.

Myanmar yang terasing sejak kudeta tentera pada Februari 2021, sebenarnya mempunyai lebih banyak untuk ditawarkan kepada dunia daripada sekadar cerita sedih tentang bencana alam, pusat penipuan dan krisis politik.

Negara itu kaya dengan sejarah, keindahan alam semula jadi dan kota purba.

Ia juga tidak ketandusan bakat dalam bidang sukan.

Pada era 1960-an dan 1970-an, negara yang ketika itu dikenali sebagai Burma melahirkan pelari jarak jauh, pemain bola sepak, ahli bina badan dan angkat berat bertaraf dunia, yang menjuarai pelbagai kejohanan antarabangsa.

Pasukan bola sepak lelaki negara itu memenangi pingat emas pada Sukan Asia 1966 dan 1970.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia Datuk Santokh Singh, yang pernah menentang pasukan lelaki Myanmar beberapa kali, menggambarkan era 1970-an sebagai zaman kegemilangan bola sepak Myanmar, khususnya ketika Kejohanan Piala Merdeka di Kuala Lumpur.

“Saya masih ingat pasukan lelaki mereka amat hebat dan digeruni pada era 1970-an, tetapi mereka kemudian lenyap daripada perhatian atas sebab tertentu.

“Dengan pasukan wanita berjaya mara ke final sekarang, saya fikir kedua-dua pasukan lelaki dan wanita sedang cuba membuat kebangkitan, dan itu baik untuk bola sepak,” katanya kepada Bernama dari Kuala Lumpur.

Namun takdir menentukan, sukan terpinggir apabila negara dilanda kemelut politik, khususnya sejak empat tahun lalu.

Bakat muda semakin terabai, manakala kekangan kewangan, kelemahan infrastruktur dan keadaan tidak selamat membantutkan kejayaan mereka.

Walaupun tewas semalam, skuad Singa Betina Asia meninggalkan stadium sebagai wira. Tambahan pula, mereka kalah kepada sebuah pasukan dari negara maju.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan