JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan Kurangkan Hukuman Bekas Pemandu P-hailing Sebabkan Kematian Isteri

08/10/2025 06:15 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara seorang bekas pemandu p-hailing daripada 16 tahun kepada 13 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian isterinya dua tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan membenarkan rayuan Ong Boon Pin, atau nama Islamnya Anaki Naufal Ong, untuk mengurangkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi.

Barisan tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid itu, memerintahkan hukuman penjara Ong dikira bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 18 Jun 2023.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Mohamed Zaini berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam pendekatan sabitan hukuman dengan gagal memberikan pertimbangan sewajarnya kepada beberapa faktor mitigasi.

Antara faktor itu ialah pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan alternatif menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, yang telah menjimatkan banyak masa dan sumber kehakiman.

Hakim turut menyatakan bahawa kesalahan itu tidak dirancang terlebih dahulu, dan kelakuan tertuduh selepas kejadian serta sepanjang prosiding di Mahkamah Tinggi menunjukkan bahawa dia berasa kesal akan perbuatannya.

Beliau memutuskan bahawa hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi adalah tidak wajar dan terlalu berat, justeru memerlukan campur tangan rayuan.

"Oleh itu, hukuman penjara 16 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi digantikan dengan hukuman penjara 13 tahun, bermula dari tarikh tangkapan," katanya.

Pada 3 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Ong, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menyebabkan kematian tanpa niat membunuh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Lelaki itu didakwa menyebabkan kematian isterinya, Nur Farah Syahirah Misran, 28, di rumah mereka di Taman Sentosa, Klang, Selangor antara 6.45 petang pada 15 Jun 2023 hingga 10.45 malam, 18 Jun 2023.

Ong pada mulanya berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagaimanapun pihak pendakwaan kemudian menggantikannya dengan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku selepas pertengkaran apabila isterinya menegur Ong yang meminjam wang daripada ceti haram.

Dalam pertengkaran itu, mangsa dikatakan meluahkan penyesalan berkahwin dengannya dan menyatakan hasrat untuk bersama dengan lelaki lain, menyebabkan Ong bertindak mencekik mangsa.

Selepas kejadian itu, Ong dilaporkan berada di sisi mayat isterinya selama tiga hari sebelum cuba membunuh diri, namun akhirnya menyerah diri kepada polis.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha mewakili pihak pendakwaan manakala Ong diwakili peguam K.A. Ramu dan Soon Sen Yang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan