EKONOMI

BioInnovation Launchpad 2025 Pacu Usahawan Bio Ke Pasaran Global

09/10/2025 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Program BioInnovation Launchpad 2025 menerusi BioXceed 2025 dijangka melahirkan sekurang-kurangnya 10 usahawan bio berpotensi tinggi, yang mampu mencapai status Bio-based Accelerator (BBA) atau BioNexus, sekali gus memperkukuh ekosistem bioteknologi negara menjelang 2030.

Inisiatif itu hasil kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), dalam melahirkan penyelesaian praktikal untuk membawa produk dan teknologi tempatan ke arah pengkomersialan pasaran global, selari dengan matlamat Ekspo Inovasi dan Pengkomersilan Kebangsaan (NICE 2025).

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata program itu, memberi hala tuju jelas kepada graduan, penyelidik dan usahawan dalam memacu pengkomersialan inovasi bio melalui sokongan menyeluruh merangkumi bimbingan, akses pasaran, sokongan regulatori, peluang pembiayaan serta fasilitasi lain.

“Peserta tidak dibiarkan bersaing seorang diri, sebaliknya menerima sokongan menyeluruh bagi memastikan inovasi bio mereka berkembang menjadi perniagaan mampan dan berskala besar.

“Usaha ini juga menyumbang kepada sasaran lima peratus KDNK menjelang 2030 di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0,” katanya pada Majlis Perasmian BioXceed 2025 yang diadakan sempena NICE 2025 di Pusat Dagangan Dunia yang dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang hari ini.

Mohd Khairul berkata para peserta BioXceed akan membentangkan cadangan perniagaan mereka kepada pelabur, pemberi dana dan syarikat modal teroka semasa “Hari Demo BioInnovation Launchpad” dan tiga pemenang utama akan menerima dana permulaan sebanyak RM60,000, manakala pemenang kategori Best Pitcher dan People’s Choice masing-masing akan membawa pulang RM5,000.

Sementara itu, Chang berkata bidang bioinovasi kini menjadi nadi kepada kemajuan negara kerana ia merangkumi aspek kehidupan seharian rakyat termasuk aspek makanan, ubat-ubatan, sehingga penyelesaian lestari bagi alam sekitar.

“Peranan agensi-agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seperti Bioeconomy Corporation dan MTDC amat penting dalam memastikan hasil penyelidikan dan teknologi dapat diterjemahkan kepada impak sebenar kepada rakyat dan negara,” katanya.

Chang berkata kolaborasi antara kedua-dua agensi itu melalui program BioXceed 2025 mencerminkan aspirasi bersama untuk mendukung matlamat pengkomersialan teknologi tempatan.

Beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi negara ketika ini ialah kadar pengkomersialan hasil penyelidikan universiti yang masih rendah, dengan kurang daripada 10 peratus berjaya dikomersialkan.

“Perkara ini berpunca daripada kekurangan dana, kemahiran keusahawanan serta bimbingan berterusan. BioInnovation Launchpad 2025 yang dikendalikan oleh Bioeconomy Corporation unik kerana ia menawarkan sokongan berpanjangan, berbeza dengan program keusahawanan lain yang lazimnya bersifat jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 10 peserta daripada universiti, syarikat pemula dan syarikat spin-off telah dipilih untuk menyertai program ini. Mereka membawakan 10 produk berasaskan bioinovasi yang dianggarkan mempunyai potensi nilai pasaran mencecah RM13 juta, merangkumi sektor kesihatan, bioteknologi pertanian, keterjaminan makanan, makanan berasaskan bio serta ekonomi kitaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan